Nissan Elgrand 3.5 V6

at Isnin, 3 Jun 2013 [ 11:21 PTG ]

Nissan Elgrand 2013.08
Nissan Elgrand 2013.12Di dalam negara, Nissan lebih dikenali sebagai pengeluar kereta keluarga. Produk yang dipasarkan lebih berorientasikan pelanggan kategori itu dan menjadi tradisi sejak berpuluh tahun dahulu. Ini boleh dibuktikan melalui produk seperti March, Sunny, Sentra, AD Resort dan paling malar segar ialah Vannette. Model-model tersebut kemudiannya digantikan dengan yang baharu seperti Almera, Sylphy dan Grand Livina. Jika disemak model yang dipasarkan sebenarnya Nissan mempunyai produk di dalam kesemua segmen termasuklah di dalam kategori kereta sport. Tidak mengapa kita tidak mendapat Nissan GTR kerana Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) ada memasarkan model sport 370Z Coupe dan Roadster.
Harus tahu, jabatan yang bertanggung jawab untuk membawa sesebuah model ke pasaran ialah perancang produk atau lebih dikenali sebagai product planning. Mereka yang bekerja di bawah jabatan itu di ETCM harus dipuji dan di angkat lebih tinggi di kalangan pengkritik kereta tempatan. Produk yang dibawa unik belaka antaranya seperti Navara King Cab, Nissan Leaf dan paling mengejutkan ialah Elgrand 3.5 V6 di kala penjual kereta import terpakai (recond) galak menjual Toyata Vellfire, Toyota Alphard dan Honda Elysion. Sebelum saya menulis jauh mengenai pandu uji Elgrand, suka juga untuk saya kongsi golongan kolar putih di ETCM juga bertanggung jawab dalam membawa masuk kit aksesori seperti Nismo, Autech dan Impul. Senario tersebut berbeza dengan pesaing lain sama ada pengeluar kereta import atau nasional yang lebih konservatif. Selain daripada itu, kumpulan Tan Chong juga bertanggung jawab di dalam membawa masuk dan membangunkan jenama rare seperti Renault dan Subaru. Jangan lupa, SONY DSCmerekalah yang mengimport Renault Megane RS, Renault Clio Sport, Subaru Impreza WRX, Subaru Legacy Outback, Subaru Forester dan terkini Subaru XV. Tidak salah jika saya katakan bahawa mereka ini lah petrol head (penggemar kereta) yang berselindung di sebalik imej korporat. Saya meminta maaf jika sebelum ini saya memandang rendah kumpulan Tan Chong.
Berdasarkan rasional tersebut tidak hairanlah ETCM mengimport masuk dan menjual secara rasmi Nissan Elgrand 3.5 V6. Di kala pengeluar lain mengalah dengan tawaran produk rekondisi yang jauh lebih murah, ETCM pula melawan arus dengan menawarkan Elgrand. Rasionalnya akan saya terangkan pada penghujung artikel nanti. Memandu uji sebuah MPV premium memerlukan jangka masa dan jarak perjalanan yang jauh. Oleh itu, saya dan keluarga seramai lima orang dewasa dan dua kanak-kanak mengembara ke Kelantan melalui Gua Musang dan pulang melalui Terengganu mengikut jalan pantai. Mengamati dari luar, Elgrand nampak besar dan mewah. Namun saiz yang besar itu sebenarnya lebih kecil jika dibandingkan dengan MPV mewah lain. Dengan Elgrand generasi keempat ini Nissan menyemak semula sifir rekabentuknya. Ruang yang berlebihan seperti ruang kepala dikurangkan menjadikannya lebih rendah berbanding generasi lama. Hasilnya ialah sebuah MPV yang nampak lebih aerodinamik dan kompak berbeza dengan pesaing lain yang nampak seperti bas mini atau kotak beroda. Namun begitu, Elgrand tidak pula menjadi lebih sempit kerana apa yang dikurangkan ialah saiz ruang kepala yang berlebihan.
Nissan Elgrand 2013.15
Memasuki ruang interior, terserlah suasana mewah Elgrand. Kerusi pemandu dan penumpang sebelah yang dibalut kulit selesa, di tambah pula dengan perehat lengan yang merupakan aksesori wajib untuk sebuah MPV. Kedua-dua kerusi tersebut boleh dilaras secara automatik dan bonus untuk penumpang sebelah apabila ianya didatangkan dengan perehat kaki persis kelas bisnes penerbangan. Visual bantuan pemandu pula moden dengan kamera yang memberi imej sekeliling kereta (Around View Monitor) dengan sensor sonar yang sangat membantu dalam memarkir Elgrand. Ciri tersebut merupakan suatu yang saya sangat gemari dan yakin bahawa pemandu wanita tidak perlu pun mengangkat wajah mereka dan hanya perlu fokus pada paparan skrin sahaja. Selain daripada itu, pemandu boleh melaras sistem audio, kamera, penggera, penggunaan minyak dan jadual servis melalui skrin monitor yang sama. Cuma apa yang kurang ialah Elgrand tidak didatangkan dengan telefon sambungan bluetooth, kawalan audio pada stereng dan auto cruise. Agak ralat juga untuk MPV mewah seperti ini.
Bahagian penumpang belakang juga tidak kurang hebat dan mewah dengan konfigurasi kerusi kapten. Walaupun kerusi tersebut dilaras secara manual namun ianya didatangkan dengan perehat kaki di tambah pula dengan kerusi yang empuk menjadikan pemanduan jauh terasa selesa. Penumpang belakang pula tidak perlu bersusah-susah untuk membuka pintu pada kedua-dua belah sisi kerana ianya dikawal secara elektronik, jika malas lagi hendak membuka pintu, beritahu saja pada pemandu untuk membukanya melalui satu sentuhan pada suis di tempat pemandu. Selain daripada itu, penumpang juga berasa nyaman kerana terdapat empat corong penyaman udara di sisi Elgrand yang boleh dikawal secara berpusat atau tunggal. Jika Nissan Elgrand 2013.06hendak merasa angin semula jadi buka sahaja cermin suria pada barisan kedua tempat duduk atau pun di atas pemandu depan. Cermin penumpang belakang pula tidak memerlukan filem penapis haba yang tebal kerana setiap tingkap didatangkan standard dengan langsir. Suatu perkara yang agak kritikal untuk sebuah MPV ialah kerusi barisan ketiga dan ruang bagasi yang dianaktirikan. Kedua-dua ciri tersebut pada Elgrand saya fikir lulus ujian terutama kerusi barisan ketiga yang boleh diduduki dengan memuaskan oleh orang dewasa. Untuk penyimpanan pula, bonetnya dalam dan muat untuk diisi empat bagasi bersaiz sederhana dengan beberapa beg kecil di atasnya. Jika tidak memerlukan kerusi barisan ketiga, baringkan sahaja dengan menekan butang elektronik. Bonet belakang pula turut boleh dioperasikan secara elektronik.
Memandu Elgrand dengan jarak 1200km selama empat hari tidak berasa penat dan biasa-biasa sahaja. Kurang lenguh walaupun memandu di dalam kesesakan. Di waktu malam pula tidak menjadi masalah dengan bantuan lampu utama AFS (Adaptive Front Lighting System) yang bergerak mengikut arah stereng. Dari segi pemanduan dan pengendalian, Elgrand tidak terasa bergoyang atau berkocak yang sinonim dengan MPV besar bahkan saya fikir jurutera Nissan telah berjaya mengimbangi antara kehendak pemandu dan keselesaan penumpang. Cuma yang menjadi masalah ialah suspensinya yang terasa sikit keras namun saya fikir itu bukanlah masalah besar. Kuasa yang dibekalkan oleh enjin 3.5 liter V6 CVTC pula walaupun besar tetapi tidak terasa buas seperti angkanya. Dipadankan dengan transmisi XTRONIC CVT enam kelajuan, Elgrand mampu mendaki bukit Karak dengan selesa. SONY DSCUntuk mereka yang tidak kisah dengan karakter enjin linear dan mahu mendapatkan penjimatan, tekan sahaja butang Eco dan jika ingin merasa prestasi, alihkan gear ke seleksi manual yang merubah karakter enjin. Penggunaan minyak yang saya perolehi sepanjang pandu uji ialah 12 liter untuk setiap 100km iaitu jumlah yang boleh dikatakan jimat untuk enjin 3.5 liter dengan badan yang besar. Untuk ciri-ciri keselamatan pula, Elgrand mempunyai enam SRS (beg udara) untuk pemandu depan hinggalah pemandu belakang. Kuasa membrek pula dibantu oleh sistem ABS dengan EBD dan BA.
Mengenai harga pula, Nissan Elgrand Highway Star ini ditawarkan pada harga RM 398,361.40. Mungkin ada yang merasakannya tinggi namun harus diingat bahawa MPV premium ini diimport baru sepenuhnya dari Jepun serta didatangkan dengan waranti selama 3 tahun atau 100,000 km. MPV premium ini sangat sesuai untuk firma yang menyediakan pengangkutan untuk pihak pengurusan tertinggi dengan keselesaan, muatan yang lebih berbanding kereta sedan premium buatan Eropah dengan harga yang lebih kurang sama. Tambahan pula, susut nilai kenderaan Jepun tidak seteruk buatan Eropah dan di atas kertas dan jika dibuat pembentangan pembelian, saya yakin Elgrand lebih bernilai untuk wang syarikat.
Lokasi: Captain T Restaurant, Kota Bharu.
Nissan Elgrand 2013.01 

 

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

Dikuasakan oleh Blogger.

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.