Poligami

at Ahad, 16 Jun 2013 [ 6:34 PTG ]

Praktikal poligami dalam Islam disandarkan kepada nas Al Quran dan Sunnah, diantaranya seperti yang terkandung dalam surah An Nisa’ ayat 3 yang bermaksud:

“Maka kahwinilah perempuan-perempuan yang kamu sukai dua, tiga dan empat, tetapi jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil maka kahwinilah satu sahaja”

Berdasarkan ayat di atas, dapat disimpulkan bahawa Tuhan membuat tawaran kepada kaum lelaki agar mengahwini wanita-wanita sebanyak dua atau tiga atau empat. Pilihan pertama ialah dua. Pilihan kedua ialah 3. Pilihan ketiga ialah 4. Namun Allah berkata, jika kamu bermasalah dalam melakukan keadilan, maka pilihan akhir untuk kamu, selemah-lemahnya pilihan ialah beristeri 1.

Ayat ini sama kedudukannya seperti hadis berikut:

“Barang siapa yang melihat kemungkaran maka cegahlah ia dengan tangan (kuasa), jika tidak mampu maka cegahlah dengan lisan dan jika kamu tidak mampu, cegahlah dengan hati. Itulah selemah-lemah iman.”

Nas-nas di atas tadi bermaksud bahawa Tuhan memberi pilihan kepada manusia dalam melaksanakan tuntutan syariatnya, diberi kelonggaran dalam mengamalkannya mengikut tahap keimanan masing-masing.

Contohnya seorang guru berkata kepada murid-muridnya:

“Wahai murid-murid sekalian, agar kamu pandai dalam ilmu matematik ini, maka selesaikanlah dua soalan yang saya berikan ini. Lebih baik lagi kalau kamu boleh selesaikan tiga. Tapi kalau kamu tidak mampu maka selesaikan satu saja”

Dari sini kita dapat mengambil kesimpulan bahawa sebenarnya poligami adalah prioriti(keutamaan) dan monogami hanya alternatifnya. Buktinya, di zaman Rasulullah, para Sahabat, salafussoleh dan sekitar 700 tahun selepasnya, majoriti umat menjadikan poligami sebagai tradisi.

Tetapi di zaman ini poligami sangat dipinggirkan, malah sampai dimusuhi dan di takut-takutkan. Dilihat dalam masyarakat hari ini, kaum lelaki pun sangat sedikit yang bahagia dengan poligami. Mereka terpaksa mengambil risiko tinggi kerana praktik poligami.

Mengapa ini terjadi? Di dunia hari ini belum ada lagi pemimpin yang adil. Lelaki yang adil sudah jarang sekali. Kebanyakan lelaki hanya mampu beristeri satu. Bahkan yang satu itupun dia tidak mampu berlaku adil seperti yang diharapkan. Oleh sebab itu tidak hairanlah kalau rumah tangga monogami pun banyak yang retak dan kacau bilau apalagilah yang berpoligami.

Tetapi mari lihat dengan mata hati tanpa rasa hasad dengki dan berprasangka buruk, bagaimana jika suatu keluarga contoh dapat diwujudkan melalui poligami, maka itulah yang dinamakan syurga dunia. Di dalam sebuah keluarga besar, ayah sebagai ketua keluarga berperanan sebagai pemimpin, manakala empat orang ibu mempunyai peranan masing-masing dalam rumah tangga tersebut. Ada yang berperanan mendidik anak-anak, mengatur urusan rumah tangga, melayani tetamu, menjaga hubungan dengan masyarakat, menjaga disiplin ibadah, menjaga kebersihan, mengurus kewangan rumah tangga, mengurus makan minum dan lain-lain. Anak-anak yang banyak akan terpimpin dan terdidik serta mendapat kasih sayang sepenuhnya dari 4 orang ibunya.

Gabungan dari kesemua inilah yang akan menghasilkan sebuah keluarga besar yang dapat menjadi role model. Suasana ini juga akan menjadi arena latihan kepimpinan secara natural bukan saja untuk suami, tetapi juga untuk isteri-isteri dan anak-anak. Ini akan menjadikan poligami sebagai projek besar untuk menghasilkan sebuah masyarakat madani dan empayar Islam.

Tetapi mengapa kehebatan poligami di sudut ini tidak dibesarkan? Mengapa yang dibesar-besarkan hanya contoh-contoh yang gagal? Mengapa yang dibesar-besarkan hanya soal sakitnya nafsu perempuan? Malah berbagai usaha dibuat untuk menentangnya. Sebenarnya semenjak kejatuhan empayar Islam 700 tahun yang lalu, Barat memperkenalkan satu perjuangan kaum wanita menuntut hak-hak peribadi mereka. Itulah women’s liberation atau hak asasi wanita. Diantara yang paling ditentang ialah poligami. Hingga kini gerakan itu sangat berjaya. Semua wanita begitu ‘berkuasa’ tanpa mempedulikan lagi peraturan Tuhan terhadap mereka. Lelaki pun ikut dalam berjuang menentang poligami kerana tunduk kepada wanita.

Hari ini siapa berpoligami dianggap asing, jijik dan kolot. Seolah-olah poligami tidak ada dalam Islam atau suatu praktik yang terpinggir. Padahal sebenarnya sistem keluarga besar ini adalah suatu kekuatan dalam masyarakat dan negara Islam. Mempraktikkannya dengan baik dan berjaya adalah suatu kehebatan, kedaulatan dan kekuasaan. Musuh-musuh Islam sangat mengetahui hal ini. Sebab itu mereka sangat memperjuangkan agar poligami berkubur.

Marilah kita lihat bagaimana berjayanya Rasulullah dalam berpoligami. Baginda dapat memimpin sebelas orang isteri yang terdiri dari wanita-wanita dari latar belakang yang berbeza-beza, dari etnik atau kabilah yang berbeza-beza, tapi mereka semua tunduk patuh bahkan sangat mendukung perjuangan Rasulullah. Oleh sebab itu kabilah-kabilah Arab akhirnya tunduk dibawah kepimpinan Rasulullah. Seolah-olah orang-orang Arab jahiliah yang terkenal ganas dan panas itu berkata,

’’Ya Muhammad, kalau beginilah kemampuanmu, dapat menjinakkan 11 wanita, sedangkan aku dengan satu isteri pun susah membuatnya jadi taat, maka engkau memang pemimpin yang hebat. Kami menyerah diri untuk berada dalam kepimpinan dan pemerintahanmu’’

Sebenarnya kalau kita benar-benar jujur dan ikhlas dalam menerima poligami secara Islam kita akan melihat kesempurnaan dan manfaatnya. Manfaat poligami sebenarnya bukan hanya untuk suami tetapi untuk isteri-isteri, anak-anak dan umat manusia seluruhnya. Kalau kita dapat mempraktikkan poligami ini benar-benar mengikut kehendak Tuhan, maka kita akan memiliki satu kekuatan di dunia ini yang orang lain tidak mampu lakukan. Sebab dalam poligami terkumpul kekuatan super power, antaranya:

1. Kekuatan taqwa
Pengamal-pengamal poligami baik suami, isteri mahupun anak-anak mestilah mengusahakan taqwa kalau mahu keluarga itu bahagia. Iman dan taqwa saja yang boleh mengawal keluarga itu dari segala masalah. Cinta kepada Tuhan akan mendorong setiap anggota keluarga berbuat baik satu sama lain. Takut kepada Tuhan dapat mengawal manusia dari segala kejahatan.

2. Kekuatan perpaduan
Jika keluarga poligami itu dibangunkan atas dasar cinta dan takut Tuhan maka dengan sendirinya satu sama lain akan bersatu padu. Tidak ada perebutan hal duniawi seperti harta, giliran, kasih sayang suami dan lain-lain, kerana semua anggota keluarga sibuk mengejar cinta dan kasih sayang Tuhan.

3. Kekuatan keselarasan
Jika hati sudah bersatu maka cara berfikir, cara berperasaan dan cara berbuat akan selaras. Semua anggota keluarga akan berusaha menjadikan keluarga itu bahagia, menjadi role model, menjadi syurga dunia sebelum syurga di Akhirat sana. Hukama ada mengatakan,

’’Kalau di dunia kamu tidak dapat menjadikan keluargamu bahagia bagai syurga, jangan harap kamu akan mencium bau syurga di Akhirat’’

4. Kekuatan ekonomi atau wang
Keluarga besar yang bersatu padu, bekerja sama dan bergotong royong adalah aset untuk membentuk sebuah family company yang berjaya. Kenyataan di dunia sekarang ini pun menunjukkan bahawa hartawan-hartawan umumnya adalah dari family company yang berjaya. Bahkan pemimpin-pemimpin negara yang berjaya memimpin keluarganya dapat melagangkan kepimpinannya, kekuasaan dan hartanya hingga turun temurun. Ini menunjukkan bahawa keluarga besar yang berjaya itu adalah aset ekonomi yang besar. Dan poligami adalah cara yang cepat dan tepat untuk membesarkan keluarga secara ’’gentleman’’ dan bertanggungjawab.

Begitulah huraian ringkas tentang konsep poligami berdasarkan nas yang Allah sebut dalam Al Quran. Kalau difahami dan dihayati dengan hati yang bersih sebenarnya tidak perlu ada pro dan kontra. Poligami seperti juga ibadah yang lain seperti solat, zakat, puasa, haji, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain adalah suatu yang wajar bahkan keperluan bagi umat Islam. Bahkan kalau dilakukan dengan tepat dapat menjadi kekuatan yang besar untuk mewujudkan negara bahkan empayar Islam yang ’’baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur’’ yang diidamkan oleh semua manusia.

sekadar gambar hiasan

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

Dikuasakan oleh Blogger.

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.