Memaparkan artikel dengan label Keselamatan

Tangani gejala kehamilan gadis

Putrajaya: Malaysia berusaha keras menerusi penggubalan pelbagai dasar bagi menangani gejala kehamilan gadis remaja kerana ia adalah bentuk diskriminasi terhadap golongan itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Karim, berkata antara yang dilaksanakan kementerian, termasuk menggubal Dasar Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan (PEKERTI), bertujuan menghasilkan individu yang berpengetahuan dan mempunyai sikap positif dalam bidang kesihatan reproduktif dan sosial.

Katanya, menerusi pelan tindakan dasar itu, kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara (LPPKN) membangunkan pelbagai program untuk setiap lapisan masyarakat bermula daripada sekolah rendah hingga menengah dan dilaksanakan sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan.

Respek Wanita

Selain itu, kementerian juga melancarkan Kempen Respek Wanita bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran kepada masyarakat di Malaysia khususnya wanita mengenai isu keganasan terhadap wanita.

Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya kaum lelaki agar sentiasa menghormati, menghargai dan menyayangi wanita, katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia, semalam.

Sambutan Hari Penduduk Sedunia dengan tema tahun ini Kehamilan Gadis Remaja dianjur Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak 1989, bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat mengenai isu kependudukan dunia.

Beliau berkata, remaja hamil bukan saja tidak dapat menikmati zaman remaja mereka tetapi juga menutup peluang untuk mendapat pendidikan lebih tinggi selain berisiko terhadap penderaan. Mereka juga akan berhadapan dengan isu kehamilan dan penjagaan anak dalam keadaan mereka masih belum bersedia untuk menjadi seorang ibu dari segi mental dan fizikal, katanya.

| | Read More »

Jabatan Imigresen Cadang Tubuh Bahagian Baru Perangi Pemerdagangan Orang

clip_image001

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen mencadangkan penubuhan satu unit baru dalam jabatan itu, yang dikenali sebagai Bahagian Anti Pemerdagangan Orang untuk memperkasakan lagi usaha Malaysia dalam memerangi pemerdagangan orang - salah satu jenayah rentas sempadan.

Tahun ini, Malaysia sekali lagi bagi tahun keempat berturut-turut diletakkan di Tahap Dua Senarai Pemerhatian (Tier 2, Watch List) oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) dalam laporan Pemerdagangan Orang (TIP) 2013.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Alias Ahmad berkata, isu pemerdagangan orang yang semakin berleluasa berlaku di seluruh dunia dilihat sebagai cabaran global hari ini, selain jenayah-jenayah lain seperti penyeludupan senjata, penyeludupan migran, rangkaian keganasan dan penyeludupan dadah.

Beliau berkata, lebih membimbangkan apabila Malaysia bukan sekadar dijadikan sebagai negara destinasi tetapi juga negara transit bagi aktiviti pemerdagangan orang.

"Oleh itu, landskap dunia baru ini menyebabkan Jabatan Imigresen perlu melakukan transformasi supaya keupayaannya seiring dengan cabaran global. Ia meliputi aspek struktur, kelengkapan, pelaksanaan sistem dan tenaga manusia. Jabatan Imigresen sedang menjalani penyusunan semula organisasi dan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang adalah sebahagian daripada cadangan transformasi itu. Kita mahu menubuhkan bahagian ini secara khusus supaya tugas dan operasi berkaitan dengan jenayah rentas sempadan ini lebih fokus," katanya dalam satu temu ramah eksklusif bersama mStar Online di sini, baru-baru ini.

Kedudukan Malaysia dalam menangani jenayah pemerdagangan orang sebelum ini pernah merosot kepada Tahap Tiga (Tier 3) pada 2009 berbanding Tahap Dua (Tier 2) pada 2008.

Tahap Dua (Tier 2) bermakna negara berusaha memenuhi syarat Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan - Trafficking Victims Protection Act (TVPA) Amerika Syarikat, Tahap Tiga (Tier 3) bermaksud langsung tidak melakukan apa-apa usaha dan mengaplikasikan sepenuhnya TVPA.

Dan Malaysia yang ketika ini pada Tahap Dua Senarai Pemerhatian (Tier 2 Watch List) sedang berusaha untuk mencapai Tahap Satu (Tier 1) - negara yang melakukan pematuhan TVPA sepenuhnya.

Alias berkata, cadangan penubuhan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang merupakan antara inisiatif utama Jabatan Imigresen yang diiktiraf sebagai Agensi Sektor Awam Terbaik pada majlis Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Global anjuran Institut Pengurusan Malaysia (MIM), baru-baru ini.

Pada masa ini, beliau berkata, sebarang operasi yang melibatkan usaha membanteras jenayah pemerdagangan orang diletakkan di bawah Bahagian Penguatkuasaan.

"Jika Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dilaksanakan, ia akan melengkapi proses dengan lebih cekap dari peringkat risikan, pemantauan, penguatkuasaan, penangkapan, penyiasatan sehingga ke pendakwaan dan seterusnya mensabitkan kesalahan dan melindungi mangsa," katanya.

Menurut statistik Jabatan Imigresen, sebanyak 213 kes melibatkan 975 mangsa pemerdagangan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 (ATIP) sejak 2008.

Tahun ini sahaja setakat Jun, sebanyak 14 kes dengan 49 mangsa di bawah ATIP.

Menurut Alias, cadangan penubuhan bahagian baru itu sudah pun diusulkan kepada Kerajaan pada November tahun lepas bagi mendapatkan kelulusan.

"Cadangan ini memerlukan penelitian dan ia kini dalam fasa kedua untuk rundingan dan perbincangan di pihak kerajaan. Kita berharap ia dipertimbangkan dan mendapatkan kelulusan secepat mungkin," katanya.

Beliau menambah, sebagai persediaan sementara menubuhkan bahagian baru, Jabatan Imigresen kini memperkukuhkan bahagian risikan dan penguatkuasaan di samping mewujudkan pusat data bagi perkongsian maklumat risikan dengan negara-negara lain, seperti Australia, United Kingdom, Kanada dan Singapura, dengan menumpukan hal-hal berkaitan jenayah rentas sempadan.

"Pada masa yang sama, Jabatan Imigresen mempelajari pengetahuan dan pengalaman daripada pihak berkuasa Taiwan dan Korea dalam memerangi pemerdagangan orang berikutan kedua-dua negara itu berada di kedudukan Tahap Satu (Tier-1). Kita percaya dengan penubuhan Bahagian Anti Pemerdagangan Orang, ia membantu usaha Malaysia dalam membanteras jenayah rentas sempadan sekali gus memperbaiki kedudukan Malaysia dengan pencapaian TIP yang lebih baik setanding dengan kebanyakan negara dunia," kata Alias.

| | Read More »

PENIPUAN Internet Semakin MENJADI Menjelang Hari RAYA Aidilfitri

Menjelang ramadhan dan akan tibanya Hari Raya Aidilfitri membuatkan ramai berusaha untuk mencari wang LEBIH. Duit raya, perbelanjaan balik, baju baru, kuih muih, rumah terbuka dan sebagainya pasti menjadi igauan sesetegah pihak sehingga memaksa mereka merancang untuk mendapat DUIT BESAR dalam tempoh yang singkat. Ini adalah antara titik KELEMAHAN yang sangat mudah dilihat oleh si PENIPU.

Di sini, Pemikir inigin memberikan satu peringatan dan nasihat kepada semua pembaca yang tergerak hati untuk mencari WANG BESAR dalam masa yang singkat di ramadhan ini. Berhati hatilah dengan tawaran yang ada disekeliling anda. Anda juga pasti perasan bahawa semakin banyak tawaran 'pelaburan' di internet dengan bermodalkan RM50, RM 100 dan sebagainya. "Apalah nilai RM100 pada masa ini kan" " Tidak salah untuk mencuba" dan pelbagai ayat pancing untuk memikat pelanggan atau bahasa lainnya adalah mangsa tipu.

Modus operandi mereka adalah menunjukkan gambar bersama wang yang banyak dan mempromosikan di laman sosial seperti Facebook dan Twitter. Percayalah, senadainya sebagaimana yang dilaungkan ; "Sehari pendapatan saya RM2000.00", anda bukanlah orang yang akan mereka ajak atau jemput untuk berniaga, KECUALI wang anda adalah sumber kepada semua pendapatan mereka tersebut.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengenal pasti 12 jenis penipuan popular di Malaysia yang digunakan golongan penjenayah kolar putih.. Antaranya :-

1. Jual beli tanah

Modus operandi: Anggota sindiket berpura-pura hendak menjual tanah yang kononnya berpotensi dijadikan tapak kilang atau tanah pertanian. Harga ditawarkan lebih murah berbanding harga pasaran, menyebabkan ramai terpengaruh. Mangsa ditunjukkan geran tanah sebagai bukti dan diminta membuat pembayaran tunai. Mangsa hanya menyedari tertipu apabila mendapati geran tanah diberikan sebenarnya palsu selepas di periksa dengan pejabat tanah dan tanah ditawarkan itu milik orang lain.

2. Tawaran pakej haji dan umrah

Modus operandi: Sindiket menyamar kakitangan Lembaga Tabung Haji atau wakil syarikat agensi pelancongan yang menawarkan pakej haji serta umrah pada harga murah dan cepat. Namun, selepas mangsa membuat bayaran, pakej ditawarkan didapati tidak wujud. Ada mangsa menyedari ditipu selepas ada dilapangan terbang dan bersedia memulakan perjalanan.

3. Bomoh buang sial

Modus operandi: Dalang mendakwa mangsa ada sial, roh jahat atau nasib malang dan berkebolehan mengubah keadaan itu jika mangsa menjalani upacara rawatan khas membuang badi. Proses rawatan biasanya mengambil masa lama dan mangsa perlu membuat bayaran ditetapkan. Mangsa hanya sedar tertipu apabila tiada perubahan pada diri dan bomoh menghilangkan diri. Ada juga mangsa wanita dicabul dan ditiduri.

4. Jual beli kereta

Modus operandi: Sindiket mencari mangsa yag memiliki kereta tapi belum menyelesaikan pinjaman atau bermasalah membuat bayaran ansuran dengan bank. Mereka menawarkan bantuan kononnya boleh menjual kereta mangsa dan menyelesaikan urusan pinjaman dengan bank. Mangsa menyedari ditipu apabila pihak bank terus membuat tuntutan bayaran atau menerima saman lalu lintas. Selepas melakukan pemeriksaan, mangsa akhirnya mendapati keretanya tidak dijual, manakala anggota sindiket penipuan menghilangkan diri bersama kereta.

5. Menyewa tanah untuk pembinaan pencawang telekomunikasi

Modus operandi: Menyamar sebagai wakil syarikat telekomunikasi seperti Celcom atau Maxis yang kononnya ingin menyewa tanah untuk didirikan pencawang. Mangsa ditawarkan bayaran sewa bulanan tidak kurang RM10,000. Bagaimanapun, mangsa diminta menyerahkan geran tanah, membuka akaun bank baru kononnya untuk memudahkan bayaran sewa dan diminta mengeluarkan semua duit simpanan dengan alasan untuk mengelak cukai pendapatan. Selepas duit diserahkan, mereka menghilangkan diri. Kebanyakkan mangsa adalah penduduk dikawasan kampung.

6. Menang hadiah utama loteri

Modus operandi: Dalang sindiket biasanya warga Indonesia yang bijak berlakon kononnya mereka memenangi hadiah utama. Anggota sindiket, termasuk wanita, mencari mangsa dikawasan awam, terutama wanita yang banyak memakai barang kemas pemilik kereta mewah dan juga wanita Umno.

Mereka mendakwa tidak boleh menuntut hadiah kemenangan kerana mereka warga asing, lalu menawarkan mangsa tiket loteri mereka dengan meminta bayaran sebanyak RM10,000 atau lebih. Biarpun jumlah itu besar, ia dikatakan jauh lebih rendah berbanding hadiah kemenangan yang kononnya RM200,000. Jika mangsa kekurangan tunai, mangsa boleh menyerahkan barang kemas dengan nilai dikehendaki. Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu apabila mendapati tiket loteri/ekor diberikan sebenarnya tiket menggunakan jarum dan gam.

7. Beli barang runcit dengan cek palsu

Modus operandi: Sindiket membeli pelbagai barangan runcit, namun pembayaran terpaksa dibuat dengan sebahagian kecil menggunakan tunai, manakala sebahagaian besarnya menggunakan cek, Mangsa menyedari tertipu apabila mendapati cek digunakan tidak laku, manakala syarikat dimaksudkan tidak wujud.

8. Menjual barangan yang didakwa daripada Jabatan Kastam

Modus operandi: Sindiket mendakwa memiliki barangan seperti telefon bimbit, kereta dan komputer yang hendak dijual dengan harga murah kerana ia kononnya barang lelongan kastam turut digunakan untuk menyakinkan mangsa.

Mangsa diminta membayar sejumlah wang sebagai cengkeram atau deposit sebelum barangan dihantar kemudian. Namun, penghantaran tidak dibuat dan anggota sindiket menghilangkan diri dengan wang cengkeram.

9. Menang peraduan AF (Akademi Fantasia)

Modus operandi: Menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kononnya mangsa bertuah kerana memenangi hadiah peraduan sebanyak RM9,000 Namun mangsa perlu membuat bayaran ke satu bank sebanyak RM1,000 terlebih dulu. Mangsa menyedari tertipu apabila wang RM9,000 yang dijanjikan tidak diserahkan. Polis kesal kerana banyak kali mengeluarkan kenyataan mengenai penipuan ini, namun orang ramai masih tidak ambil berat dan sanggup ditipu.

10. Gores dan menang

Modus operandi: Dianggotai sindiket yang mencari mangsa dirumah, kedai atau tempat awam. Mangsa diberi kad dan diminta menggores diatasnya untuk mengetahui hadiah dimenangi. Hadiah dijanjikan termasuk kereta dan wang tunai. Apabila mangsa ingin menuntut hadiah di premis yang selalunya beroperasi hanya dalam tempoh singkat, mangsa diminta membuat bayaran tertentu. Seringkali mangsa hanya menerima hadiah barangan elektrik, kerusi urut atau pinggan mangkuk yang tidak setimpal dengan wang dilaburkan.

11. Tawaran bantuan kebajikan dan rumah PPRT/kos rendah

Modus operandi: Beroperansi dikawasan luar bandar dan mangsa biasanya orang tua,miskin atau ibu tunggal. Anggota sindiket menyamar kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau wakil yayasan kebajikan. Mangsa dijanjikan bantuan kewangan tetap bulanan atau rumah PPRT/kos rendah pada harga potongan lebih 70 peratus.

Untuk memperolehnya, mangsa diminta mengeluarkan semua wang didalam bank bagi membuka akaun baru atau membuat sejumlah bayaran, kononnya deposit pembelian rumah. Biasanya, mereka sangup mengikut mangsa ke pejabat LTH atau bank untuk keluarkan wang. Ketika urusan membuka akaun bank baru dan mangsa diminta tunggu diluar bank dan ketika itu anggota sindiket menghilangkan diri.

12. Menang cabutan bertuah dari Hong Kong

Modus operandi: Mangsa menerima SMS mendakwa menerima hadiah cabutan bertuah wang tunai mencecah RM50,000 yang diadakan di luar negara.Mangsa bagaimanapun, diminta membayar yuran pemindahan wang kedalam akaun tertentu.Selepas bayaran dibuat, wang kemenangan dijanjikan tidak di peroleh.

Pemikir cadangkan supaya anda berniaga di bazar ramadhan atau di tepi jalan kalau terpaksa juga hendak mendapatkan wang lebih. Jangan mempertaruhkan wang anda kepada sesuatu yang tidak pasti.

Sekadar satu perkongsian buat semua, ingat mereka yang tamak selalu akan rugi.. seperti anjing dengan bayang. Waspada sentiasa jangan sesekali percaya akan mereka yang anda kenali atau tidak kenali kerana pada waktu ini semua ingin mendapatkan wang yang merupakan satu bentuk meterialisme dan setiap apa yang hendak dilakukan di dunia ini memerlukan wang.

| | Read More »

Kepala Anak Dihantuk ke Dinding

Subang Jaya: Seorang ibu mendakwa anak lelakinya bukan saja dihantuk kepala di dinding, malah turut dicurah dengan air selain dimaki hamun oleh pengasuhnya di Taman Puchong Perdana, di sini, kelmarin.

Ibu berusia 31 tahun itu diberitahu mengenai kejadian itu selepas suaminya menerima panggilan dari seorang kenalan memaklumkan pengasuh terbabit sedang ‘naik hantu’ dengan memukul anaknya di kediaman wanita itu.

Wanita itu yang enggan dikenali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, sebaik saja menerima panggilan dari suaminya, dia terus bergegas ke rumah pengasuh terbabit dan mendapati anaknya yang berusia dua tahun itu berada dalam ketakutan.

“Pengasuh terbabit memaklumkan anak saya terjatuh dan muntah-muntah, namun selepas diperiksa, ada kesan lebam di kepalanya dan saya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis selepas jiran pengasuh itu menceritakan apa yang terjadi kepada anak lelaki saya ini. Jiran pengasuh itu memaklumkan sering mendengar tangisan serta jeritan anak tunggal saya dan pada masa yang sama wanita itu memaki hamun dengan kata-kata kesat,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sebuah pusat perubatan semalam.

Menurutnya lagi, sejak tujuh bulan anaknya dihantar ke rumah suspek, kanak-kanak itu sering muntah-muntah ketika dalam jagaannya, dan pemeriksaan doktor turut tidak menunjukkan sebarang penyakit.

Katanya, dia kini menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan berharap sekiranya benar anaknya didera, wanita terbabit akan menerima balasan yang setimpal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan dibuat ibu mangsa di Balai Polis Bukit Puchong, dekat sini, kira-kira jam 10.20 malam kelmarin.

“Terdapat saksi mengatakan pernah melihat suspek menghentak kepala mangsa ke dinding. Kanak-kanak terbabit kini sedang dirawat di sebuah hospital berdekatan dan kita siasat kes ini mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak,” katanya.

| | Read More »

Keselamatan siber antara fokus DSA 2014

KUALA LUMPUR 25 Jun - Isu berkaitan keselamatan siber yang pernah melanda beberapa negara kuasa besar akan menjadi satu daripada fokus utama perbincangan dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 yang dijadual diadakan pada 14 hingga 17 April tahun depan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia amat peka tentang isu tersebut memandangkan ancaman siber boleh mendatangkan kesan yang begitu negatif kepada sesebuah negara antaranya kebocoran maklumat kepada pihak luar.

Sehubungan itu beliau berkata, DSA kali ke-14 itu merupakan platform terbaik kepada semua peserta untuk berkongsi pengalaman serta pengetahuan dan dalam masa sama boleh meningkatkan tahap keselamatan siber di negara masing-masing.

''Sekiranya negara-negara kuasa besar seperti Rusia dan China pernah berhadapan dengan ancaman siber sudah tentu Malaysia pun tidak akan terkecuali.

''Malaysia perlu sentiasa bersedia dan kita perlu meningkatkan tahap keselamatan siber agar sistem siber negara kita tidak mudah diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab,'' katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran DSA 2014 di Wisma Perwira di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Rahim Bakri; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Pengerusi DSA Exhibition and Conference Sdn. Bhd., Tan Sri Asmat Kamaludin.

Untuk rekod DSA yang pertama diadakan pada 1988.

Hishammuddin berkata, selain isu berkaitan ancaman siber, masalah yang menyentuh jenayah keselamatan yang lain seperti penyeludupan manusia, keganasan dan dadah juga akan dibincangkan.

''Isu-isu yang saya sebutkan itu akan dibincangkan secara terperinci dalam Forum Putrajaya sepanjang DSA diadakan,'' ujarnya.

Menyentuh lebih lanjut mengenai DSA 2014 beliau berkata, pameran selama empat hari itu akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Dalam pada itu beliau berkata, sebagai pameran pertahanan dan keselamatan antara lima terbesar di dunia dan paling besar di Asia, sehingga hari ini 80 peratus ruang pameran DSA 2014 telah berjaya dijual.

''Berdasarkan perkembangan tersebut kita jangka DSA 2014 boleh menarik 1,000 pemain utama industri pertahanan dari 50 negara,'' ujarnya.

Mengenai jumlah pengunjung beliau berkata, dianggarkan sebanyak 25,000 orang dari 50 buah negara akan melawat pameran empat hari itu.

Menjawab satu soalan Hishammuddin berkata, Malaysia sedia berkongsi pengalaman dengan para peserta mengenai kejayaan negara melaksanakan Ops Daulat di Lahad Datu, Sabah pada Februari lalu terutama kerjasama antara ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

''Saya juga ingin memaklumkan pada 29 Jun ini saya dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama-sama Panglima ATM dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar akan ke Sabah untuk menentukan status terkini operasi kita di sana,'' katanya lagi

| | Read More »

Dikuasakan oleh Blogger.

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.