ISRA’ MIKRAJ

at Rabu, 20 Jun 2012 [ 10:57 PTG ]

Kronologi peristiwa Isra’ Mikraj Rasulullah.
Umat Islam seluruh dunia akan menyambut ketibaan peristiwa agung iaitu Israk dan Mikraj yang ada disebut dalam ayat pertama surah al-Isra’ pada 27 Rejab (17 Jun 2012) InsyaALLAH. Mereka tidak akan melepaskan peluang keemasan yang datang sekali setahun dalam bulan hijriah. Ia bagaikan dinanti-nanti oleh pencinta agama Islam, kerana kepentingannya dalam mentarbiyah jiwa manusia ke arah kesempurnaan. Isra’ dan Mikraj adalah salah satu peristiwa penting yang berlaku pada diri baginda Rasulullah S.A.W.
Peristiwa ini telah membongkarkan keimanan dan keyakinan umat manusia tentang kekuasaan Allah dan kebenaran kepada kenabian nabi Muhammad SAW. Orang kafir sendiri menjadikan peristiwa Israk Mikraj ini sebagai suatu pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah nabi. Manakala keadaan umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat iaitu ada yang terus membenarkan nabi seperti Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita nabi dan kembali murtad daripada Islam. Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku di dua tempat utama di bumi sebelum nabi dinaikkan ke Saidatul Muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin malah melalui ayat 1 surah Isra’ menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi Isra’ dan sekitarnya. Sehingga kini bumi Isra’ iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus menjadi rebutan 3 agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi sehinggakan keganasan Yahudi dalam membunuh dan merampas tanah milik umat Islam terus berjalan tanpa perikemanusiaan.
Sejarah Perjalanan Israk Mikraj
Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Malaikat Mika’il. Hati Baginda SAW disuci dengan air zamzam dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “kahtimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangi binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu. Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa) Sepanjang perjalanan (Isra’) itu Rasulullah SAW ditemani oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah) Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan sembahyang sebanyak 2 rakaat.
Antara tempat-tempat berkenaan ialah :
I. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
II. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah.
III. Baitul-Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan).
Dalam perjalanan itu juga Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib, antaranya:-
A. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail:
Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
B. Tempat yang berbau harum, Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetap teguh kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).
C. Sekumpulan orang orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikaan dilakukan berkali-kali, Jibrail memberitahu: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
D. Sekumpulan orang yang menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
E. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami.
F. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail:"Itulah orang yang makan riba."
G. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagu kayu yang lain. Kata Jibrail: "Itulah orang yang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain."
H. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali di gunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: "itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya."
I. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
J. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (takbur), kemudian menyesal tapi sudah terlambat.
K. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
L. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensiakan umurnya sampai tua.
M. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia’, aulia’ dan mursalin menjadi makmum. Pada suatu tika Rasulullah SAW terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah)
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
a) Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu jumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba’ dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.
b) Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail naik tangga yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.
c) Langit Ketiga: Baginda naik langit ketiga dan bertemu dengan Nabi Yusuf AS.
d) Langit Keempat: Baginda naik tangga keempat dan bertemu dengan Nabi
Idris AS.
e) Langit Kelima: Baginda naik tangga kelima dan bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israel.
f) Langit keenam: Baginda naik tangga langit keenam dan bertemu dengan nabi-nabi.
g) Seterusnya dengan Nabi Musa AS, Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai termasuk 70000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
h) Langit Ketujuh : Baginda naik tangga langit keyujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW Nabi Ibrahim AS bersabda. “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah umat terakhir dan terlalu dha’if , maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syuga iaitu La Haulawala Quwatta Illa Billah. Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda : “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah iaitu : Subhanallah, Walhamdulillah, Wa La Ila Haillallah Allahuakbar dan La Haulawala Quwatta Illa Billahil Azim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga.
i) Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
j) Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “Al – Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu. Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas
emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia.
k) Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka beserta dengan malaikat Malik penunggunya.
l) Tangga kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak derhaka kepada ibu bapanya.
m) Tangga Kesepuluh : Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya.
ALLAH S.W.T: "Ya Muhammad"
Rasullah: "Labbaika"
ALLAH S.W.T: "Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan."
Rasulullah: "Ya Rabb, Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan."
ALLAH S.W.T: "Aku ambil mu sebagai kekasih. Aku perkenankan mu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepada mu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelum mu. Aku berikan mu ayat-ayat di akhir surah al Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah “Arasy”. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakan panji-panji Liwa – ul – hamd. Maka Adam dan semua yang lainya dibawah panji-panji mu. Dan aku fardukan atas mu dan umat mu 50 (waktu) sembahyang. Selesai munajat, Rasulullah SAW dibawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada ALLAH S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan 5 waktu), baginda tidak mahu lagi merayu kerana malu kepada Allah, dan akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang 5 waktu sehari semalam tetapi mengekalkan nilai pahalanya sebanyak 50 waktu juga."
Selepas MikrajRasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Pengajaran penting daripada Isra’ dan Mikraj Menurut Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradawi, menerusi peristiwa berkenaan, kita boleh fokuskan kepada dua perkara penting, pertama berhubung dengan Masjid al-Aqsa dan hubungan dengan Masjid al-Haram, kedua mengenai kewajipan solat yang diserahkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW. Persoalannya di sini, mengapa Allah tidak memperjalankan baginda terus ke langit ketujuh, tetapi singgah dahulu di Masjid al-Aqsa? Ini kerana Allah mahukan agar baginda bertemu dengan para anbiya terlebih dahulu bagi menyatakan sokongan padu mereka terhadap kerasulan Nabi Muhammad, di samping mahu baginda singgah di sebuah tempat yang penuh dengan keberkatan daripada Allah SWT seperti yang disebut dalam ayat pertama Surah Al-Isra’. Kepimpinan baginda menjadi titik tolak penyatuan akidah dan syariat di kalangan para anbiya, justeru baginda menjadi imam solat kepada mereka, iaitu kepimpinan bersifat global, bukan hanya untuk kaum atau bangsa tertentu, malah buat manusia sejagat yang terdiri daripada pelbagai etnik, suku kaum, bangsa yang menunjukkan kebesaran Allah dalam mencipta makhluk bernama manusia. Hubungan Masjid al-Haram dan Masjid al-Aqsa tidak dapat disangkal oleh individu Muslim yang sayangkan agamanya. Ini kerana dari segi sejarah menunjukkan Masjidal-Aqsa adalah kiblat pertama umat Islam sebelum berpindah kepada Masjid Al-Haram hingga ke hari ini.
oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak khususnya di kalangan umat Islam membebaskan Masjid al-Aqsa dari cengkaman rejim Yahudi-Israel, kerana ia ada kaitan dengan persoalan akidah mereka. Pengajaran kedua terpenting menerusi peritiwa Isra’ dan Mikraj, ialah pelaksanaan ibadat solat lima waktu, ia merupakan mikraj (lif/tangga) seorang Muslim menghadap Tuhannya, kepentingan solat juga tidak dapat dipersoal oleh mana-mana individu Muslim, walau apapun jawatan dan kedudukannya dalam masyarakat. Apabila solat seseorang itu beres dengan Tuhannya, maka akan bereslah urusan hidupnya yang lain, hubungan roh seorang muslim itu sangat penting dengan Tuhannya, justeru ia ada kaitan dengan kedua-dua masjid yang disebutkan di atas. Apabila seseorang itu menunaikan solat dengan penuh khusuk dan tawaduk, dia seolah-olah sedang berkata-kata dengan Allah, ia terserlah ketika membaca al-Fatihah tujuh belas kali sehari semalam, untuk menyatakan munajat dan aduannya kepada Allah bagi memudahkan tugas dan peranannya untuk menyeru manusia ke jalan kebenaran.
Wallahua’lam..

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

Dikuasakan oleh Blogger.

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.