Keagungan seni bina Peranakan
KETIKA Dr. Tan Ta Sen, 78, menemui sebuah premis di deretan rumah dua tingkat lama di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Melaka, 20 tahun yang lalu, dia begitu terpesona dengan kesenian yang terdapat pada bangunan itu.
Sayangnya, rumah gaya Peranakan Cina, Baba Nyonya itu berada dalam keadaan sangat sedih dan boleh runtuh pada bila-bila masa sahaja, kata Ta Sen memberi gambaran pada waktu itu.
"Bangunan ini penuh semak-samun, malah tiada sesiapa yang berani masuk ke dalam rumah ini kerana takut ada binatang liar," ceritanya lagi ketika ditemui di Banda Hilir, Melaka.
Segala konotasi negatif yang menggambarkan rumah bernombor 118 itu seperti rosak dan mereput boleh diberikan.
Barangkali rumah yang sudah lama ditinggalkan itu tidak memberi sebarang makna kepada kebanyakan orang, tetapi bagi Ta Sen rumah tersebut mempunyai 1,001 sebab untuk dipelihara.
"Saya seorang sejarawan yang sangat sukakan barangan dan bangunan antik," ungkapnya sambil tersenyum tenang.
Dengan langkah drastik, Ta Sen yang mendapat pendidikan dalam bidang Pengajian Melayu di Universiti Indonesia mengeluarkan kos kira-kira RM10 juta, nilai pada waktu itu bagi membaik pulih rumah tersebut.
Rumah yang dibina pada tahun 1822 itu melalui kerja-kerja baik pulih yang sangat teliti dan mengekalkan reka bentuk asli semaksimum yang boleh.
Premis tiga tingkat itu kini merupakan sebuah hotel butik yang diberi nama Hotel Puri.
Ta Sen ketika ditemui di Hotel Puri pada petang Sabtu lalu kelihatan sedang menikmati pemandangan dan keadaan sekeliling, manakala pengunjung hotel tidak putus-putus mendaftar masuk.
Setiap hujung minggu, hotel-hotel butik yang terdapat di sepanjang jalan itu pasti penuh diinap para pelancong, manakala pengembara backpacker lebih gemar menginap di rumah-rumah tumpangan di Jalan Tukang Besi.
Menariknya, rumah tumpangan di situ mempunyai mempunyai identiti pada namanya iaitu menggunakan kata ganda seperti sama-sama, kawan-kawan dan sayang-sayang serta diikuti dengan frasa guest house.
WALAUPUN telah diubah suai menjadi restoran, mozek, tingkap dan dinding masih dikekalkan sebaik mungkin.
Tarikan Hotel Puri
Hotel Puri mempunyai panjang 100 meter dan gabungan lima buah rumah serta masih mengekalkan sebanyak 70 peratus bahagian asal.
Antaranya bingkai tingkap, jubin-jubin dan ukiran daripada pelbagai era masih lagi boleh kelihatan pada bahagian lantai dan dinding, malah perigi lama masih lagi ada dan boleh digunakan.
Selebihnya, pengubahsuaian dijalankan untuk bahagian bilik-bilik tamu dan ruang restoran serta taman.
Uniknya, burung layang-layang masih lagi terbang ke dalam ruang tamu untuk membuat sarang dan ia dibiarkan bagi mengekalkan rasa autentik bangunan lama.
Dari segi hiasan perabot pula, eksekutif tempahan, Juliana Tay Lan yang berketurunan asli Baba Nyonya berkata, ciri-ciri yang ada boleh dilihat jelas di bahagian lobi.
Misalnya, kerusi antik yang menjadi tempat orang dahulu beristirehat dan melakukan upacara minum teh ketika majlis perkahwinan.
"Dahulu, kerusi ini digunakan untuk orang tua-tua berbual sesama mereka pada waktu petang," terangnya sambil duduk di atas pangkin dengan gaya wanita Nyonya dahulu kala.
Di tingkap bahagian dalam Hotel Puri, terdapat ukiran haiwan seperti harimau, ayam jantan dan binatang mistik yang memiliki maksud tersendiri, kata Juliana.
Barang-barang perhiasan antik seperti bakul sia yang digunakan sebagai hantaran, tempayan, pasu dan hiasan bingkai kaligrafi masih kekal.
"Ada antara barangan antik seperti bangku dan meja cermin sudah menjangkau usia 100 tahun. Semua ini menjadi ciri-ciri rumah milik keturunan Baba Nyonya," ceritanya.
"Tetamu kami kebanyakan terdiri daripada orang Eropah yang sukakan suasanan seperti di rumah," kata Penolong Pengurus Jualan Hotel Puri, Shalasiah Arshad, 47, ketika ditemui.
Namun, sejak bandar itu disenarai sebagai Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 7 Julai 2008, orang tempatan juga sudah mula berminat menetap di hotel butik, tambahnya.
JULIANA menunjukkan gaya wanita Nyonya dahulu beristirehat di atas pangkin yang merupakan antara perabot boleh dilihat di Hotel Puri.
Bangunan di Bandar Hilir
Kata Ta Sen, kesenian Melaka telah pun mengalami pembauran dari segi budaya dan seni binanya.
Cuma, jika dilihat pada persekitaran Banda Hilir, Ta Sen berpendapat masih banyak yang perlu diperbaiki seperti laluan pejalan kaki selain, pengisian dari segi seni seperti pertunjukan tarian dan pameran.
Ta Sen juga merupakan Presiden Persatuan Antarabangsa Zheng He, malah telah melakukan kajian terhadap tokoh tersebut selama 15 tahun.
Sebuah muzium yang diabadikan untuk Laksamana Zheng He atau lebih dikenali di sini sebagai Cheng Ho boleh dilawati di Lorong Hang Jebat, Melaka.
Secara am, bangunan di Banda Hilir masih lagi terpelihara sejak kurun ke-16 dan dipengaruhi seni bina, Portugis, Belanda dan Inggeris.
"Seni bina deretan rumah kedai pula bercirikan masyarakat Peranakan yang mempunyai struktur seni bina fusion yang unik dengan sedikit pengaruh Barat," terang Ketua Fakulti Seni Kreatif dan Rekaan, SEGi College, Subang Jaya, Roslan Othman.
Pengaruh Barat dapat dilihat pada pemilihan bahan binaan yang digunakan, manakala facade (muka) bangunan di situ menghadap ke arah cahaya matahari terbit.
"Itu merupakan ciri-ciri feng shui pada bangunan yang sebenarnya berkaitan dengan teknik pencahayaan sempurna," terangnya.
Ukiran pada kayu dan siling plaster menggunakan motif-motif semula jadi sekali gus memberi rasa tempatan pada seni bina Peranakan. Ia kelihatan pada bingkai tingkap, pintu dan dinding.
Satu lagi tarikan yang ada pada seni bina di Banda Hilir ialah lantai mozek berbentuk geometri yang disusun menghasilkan corak jalinan yang sangat menarik.
Katanya, pemilihan warna mozek sesuai dengan keadaan sekeliling dan ia boleh dilihat serta dinilai dengan mudah.
Mozek juga boleh didapati pada tangga rumah tradisional Melayu Melaka yang menggunakan pelbagai warna terang dan ceria.
"Seni bina itu merupakan sesuatu kelainan dan tidak mungkin menyamai dengan mana-mana tempat di dunia," ungkap Roslan yang dihubungi melalui e-mel.
Bercerita mengenai susun atur bandar di Banda Hilir pula, ujar Roslan, ia agak berselerak, tetapi masih lagi tertumpu di kawasan berdekatan dengan laut dan sungai.
MAKANAN Baba Nyonya juga mempunyai ciri-ciri pembauran budaya.
Kedudukan geografi itu barangkali disebabkan oleh sejarah lama Melaka yang dibina berdekatan dengan selat.
"Daripada pengamatan dan pengalaman saya berkunjung ke beberapa tempat, susun atur Banda Hilir menyamai beberapa bandar lain di Semenanjung," terangnya.
Banda Hilir mempunyai persamaan dengan susun atur Pulau Pinang dan sesetengah kawasan lama Melaka itu menyamai Katong.
Katong merupakan sebuah kawasan berdekatan dengan East Coast Park, Singapura.
Berbalik semula ke Hotel Puri, Ta Sen yang berasal dari Triang, Pahang dan kini menetap di Singapura sedang menikmati setiap inci seni bina hotel tersebut.
"Selepas lebih 20 tahun, baru ia mendatangkan hasil, walaupun sewa bangunan itu masih dibayar sehingga sekarang" ungkapnya.
Ketika ditanya bahagian bangunan yang menjadi kesukaannya, Ta Sen mengakui, semua sudut rumah lama itu sangat digemarinya.
"Cuba lihat pada tangga berpilin-pilin itu, betapa megah ia kelihatan. Jubin pada bahagian lantai airwell pula mempunyai rekaan era Victoria," luncur kata-kata Ta Sen menzahirkan rasa cintanya pada Hotel Puri.