Polis terima laporan video seks lelaki mirip pemimpin dalam negara
KUALA TERENGGANU 11 April - Polis mengesan perbuatan mengedarkan video cakera padat (VCD) seks yang kononnya melibatkan seorang pemimpin utama parti pembangkang oleh seorang lelaki di daerah Besut hari ini.
Kejadian itu dikesan di kawasan Perumahan Lorong Sekolah dan Perumahan Lorong Hidayah di Kampung Alor Lintang, Besut.
VCD beserta sejumlah gambar lucah pemimpin pembangkang berkenaan di dalam sampul surat diletakkan di pekarangan rumah penduduk sekitar kawasan itu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K. Manoharan, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung pengedaran video seks itu kira-kira pukul 7.40 pagi ini di Balai Polis Kampung Raja, Besut.
Menurutnya, sejurus menerima laporan tersebut, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan merampas 16 keping VCD yang kononnya melibatkan pemimpin pembangkang itu. "Hasil pemeriksaan, kita mendapat maklumat seorang lelaki telah mengedarkan sampul surat yang di dalamnya mengandungi sejumlah gambar lucah dan VCD seks di sekitar kawasan berkenaan. Bagaimanapun, lelaki yang mengedarkan sampul surat mengandungi gambar dan VCD itu gagal dikesan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Manoharan berkata, setakat ini pihaknya tidak dapat memberi komen berhubung video itu kerana belum melihat kandungan sepenuhnya.
"Kita akan lihat terlebih dahulu video itu sama ada tulen atau superimpose (pertindihan gambar) atau melibatkan teknik lain. Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 292 (A) Kanun Keseksaan kerana mengedar bahan lucah," katanya.
Difahamkan, beberapa keping VCD itu turut dicampak di pekarangan beberapa kediaman di Kampung Pangkalan Atap, Kuala Besut.