Versatil Wanita Metropolitan
FESYEN jalanan menjadi ilham kepada penciptaan label Kree.
Lebih eksklusif setiap pakaian Kree mendapat sentuhan pereka muda, Afiq Mohamed atau mesra dengan nama Afiq M. Selaku Pengarah Kreatif Kree, Afiq bijak mengimbangi rekaan jenama tersebut agar tidak dibayangi rekaan peribadinya.
“Saya harus tekankan bahawa Kree bukanlah jenama saya. Ia ditubuhkan atas usaha dua usahawan tempatan iaitu Reni Diana dan Norhalida Sahar. Mereka melantik saya bagi mencipta setiap item keluaran Kree,” terang Afiq ketika ditemui Stailo pada majlis pelancaran Kree di Renoma Cafe Gallery, Kuala Lumpur baru-baru ini.
MOTIF geometri melatari indah busana moden ini.
Bersempena pelancaran jenama yang berpegang kepada cogan kata Fashion Escapade itu, satu pertunjukan fesyen eksklusif turut diadakan. Sebanyak 20 helai rekaan digayakan barisan model termasuk pakaian berkonsep muslimah.
Aturan geometri mendominasi hampir keseluruhan koleksi pada hari itu menunjukkan betapa besarnya pengaruh motif tersebut dalam dunia fesyen antarabangsa. Paduan rona gelap dan terang menyemarakkan lagi busana yang amat sesuai dikenakan wanita dunia korporat.
Secara amnya, pakaian Kree disasarkan kepada wanita berumur 18 hingga 40 tahun. Potongan Kree dicipta sedikit longgar bagi memudahkannya dipadankan bersama aksesori seperti tali pinggang.
WANITA bertudung juga sesuai menggayakan pakaian Kree.
Fesyen jalanan menjadi inspirasi kepada penghasilan Kree namun kemasan yang ada pada setiap helaian jenama itu membuatkan si pemakai tampak seperti menyarungkan busana mewah yang elegan.
Dari segi pemilikan, pembeli mempunyai kelebihan kerana hanya 10 helai dikeluarkan mengikut saiz bagi setiap rekaan. Setiap item Kree boleh didapati secara dalam talian dan dijual antara RM50 hingga RM200.
Selari dengan pelancaran Kree, pelanggan yang membeli setiap item pada laman web www.kree.my sepanjang bulan April ini akan menikmati potongan sebanyak 20 peratus.