Beyond Face Value - Tudung

at Selasa, 6 Mac 2012 [ 12:02 PG ]

Sejarah pemakaian tudung kepala ini sebenarnya bermula berkurun lamanya sebelum kedatangan Islam. Sejarah Judeo-Kristian membuktikan pemakaian tudung kepala diamalkan oleh rahib wanita mereka. Dengan kedatangan Islam, wanita diperintahkan Allah untuk melabuhkan tudung kepala mereka menutupi belahan dada.
Menurut hadis yang diriwayatkan Bukhari, Aisyah r.a menceritakan kisah ketika Surah An Nur ayat 31 diturunkan di Madinah wanita mukmin Ansar dan Muhajirin terus melaksanakan perintah ini serta-merta tanpa banyak soal dengan mencari apa sahaja kain di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah perintahkan. Petanda keimanan mereka terserlah dengan sikap Sami’na Wa’ato’na (Kami mendengar dan kami taat) terhadap apa jua perintah dan ketetapan Allah tanpa perlu melihat rasional dan hikmah yang terselindung di sebalik perintah tersebut.

Pemaikaian tudung oleh rahib Kristian

Dengan berlalunya masa, kemerosotan iman dan penghayatannya berlaku di kalangan umat Islam. Penjajah pemikiran dan sekutunya bertungkus-lumus menjauhkan umat Islam daripada ajaran Islam yang sebenar. Antara usaha mereka adalah menanggalkan tudung dari kepala wanita Islam. Mereka berjaya meyakinkan wanita bahawa untuk maju, mereka harus mengikut budaya Barat dan bebas daripada penindasan agama melalui cara berpakaian. Cara hidup sekular dan propaganda pembebasan wanita pun dimainkan.

Shah Iran bersama Isterinya

Shah Iran pada tahun 1936 misalnya memulakan polisi membuka tudung wanita dan memaksa mereka berpakaian cara Barat. Pemandu teksi akan dikenakan denda sekiranya membawa wanita bertudung dan polis disuruh mencabut tudung wanita yang berjalan di jalanraya. Malah arahan diberikan supaya tudung wanita ini dikoyakkan sekiranya mereka memakainya di khalayak umum. Di Malaysia sendiri sebelum tahun 1970-an, amat jarang wanita memakai tudung kecuali mereka di pedalaman dengan fesyen menampakkan jambul.

Dengan bermulanya era kebangkitan Islam zaman 1970-an dan 1980-an, wanita kembali kepada penghayatan Islam yang sebenar. Mereka menyedari kewajiban menutup aurat dan dengan kesedaran dan kerelaan sendiri mereka mula memakai tudung. ‘Tudung dakwah’ adalah sinonim dengan cara pemakaian tudung yang betul mengikut syariat selari dengan golongan dakwah yang mengamalkannya.

Lama-kelamaan amalan ini meresap ke dalam masyarakat sehingga menjadi semacam kewajiban yang tersirat dan dijadikan sebahagian pakaian seragam sekolah. Akibatnya, kian ramai yang mengenakan tudung hanya kerana terpaksa, sebagai pakaian seragam ataupun kerana mengikut perkembangan fesyen semasa dan bukannya bersandarkan kefahaman dan kesedaran untuk mengamalkan syariat Allah. Tidak sedikit yang mencemari kesucian tudung yang dipakai dengan terlibat dalam pelbagai kelakuan yang tidak bermoral lagi sumbang.

Namun, fenomena ini juga tidak bertahan lama. Idea-idea asing atas nama pembebasan wanita dan perjuangan menuntut hak wanita mula bertapak di Malaysia, kali ini dalam bentuk pemikiran Islam Liberal yang mempersoalkan hal tudung ini. Menggunakan platform kebebasan individu utnuk mengamalkan agama dan hak asasi manusia, mereka mempersoal dan menimbulkan kekeliruan yang bukan sedikit dalam masyarakat.

Beberapa peristiwa mutakhir di Malaysia menunjukkan keruncingan kemelut tudung ini. Antaranya:

• Pengetua SMK Abdullah Munshi di Pulau Pinang, melarang pelajarnya yang berumur 15 hingga 18 tahun daripada mewakili sekolah dalam perlawanan bola jaring peringkat negeri kerana membuka tudung semasa bermain [News Straits Times 23 Mac 2006];

• Di Pahang, seorang guru di sebuah sekolah aliran agama, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Sentang telah menggunting tudung labuh pelajarnya seramai 65 orang kerana tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh mereka [Utusan Malaysia bertarikh 25 Februari 2006];

• Seorang pegawai Akaun, Habsah Jaafar dibuang kerja kerana majikannya, Hotel Renaissance tidak membenarkan beliau memakai tudung semasa bekerja [Utusan Malaysia 27 Februari 2006];

• Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Omar Bakri semasa bertugas pernah memeranjatkan banyak pihak dengan kenyataannya mewajibkan polis wanita wanita memakai tudung semasa bertugas dengan alasan keseragaman [News Straits Times 22 Mac 2006]; Namun isu ini diredakan oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia yang menyatakan bahawa pemakaian tudung hanyalah pilihan, bukan wajib, kecuali untuk perbarisan rasmi, di mana mereka perlu mengikuti peraturan [Mingguan Malaysia 26 Mac 2006];

Sebelum ini, isu pemakaian tudung pelajar MRSM dan Universiti Islam Antarabangsa telah pun mencetuskan kontroversi. Antara hujah mereka yang menentang penguatkusaan tudung sebagai pakaian seragam samada di sekolah mahupun dalam pasukan beragam adalah kerana ia kononnya mencabuli kebebasan individu dan menurut mereka terdapat khilaf ulama berhubung bentuk pakaian wanita Islam khususnya dalam pentafsiran Surah An Nur ayat 31. Mereka mahukan ayat ini ditafsir semula mengikut citarasa dan kehendak nafsu mereka. Sedangkan jumhur ulama sebenarnya sudah sepakat berhubung dengan maksud ayat ini dan meletakkan garis panduan cara berpakaian bagi wanita dan lelaki menurut syariat (lihat di bawah).

Merve Safa Kavakci

Di peringkat antarabangsa pula, isu tudung bagi wanita Islam terus mencetuskan kontroversi. Kes Ahli Parlimen terkemuka Turki, Merve Safa Kavakci daripada Parti Kebaikan Turki yang dipecat kerana bertudung.

Shabina Begum, 17 tahun di London dan empat pelajar Singapura yang dinafikan persekolahan juga kerana bertudung, terus menjadi antara kes sekularisme vs Islam yang akan tersimpan dalam lipatan sejarah.

Selain itu, tindakan Perancis mengharamkan pemakaian tudung di sekolah awam telah mencetuskan demonstrasi besar-besaran di Eropah menentang tindakan yang tidak bertamadun ini. Ribuan wanita turun membanjiri jalan raya London membawa sepanduk menegaskan bahawa hijab adalah satu kewajiban dan menjadi pilihan wanita Islam untuk mengamalkan ajaran agama mereka. Hijab juga melambangkan kebebasan, bukan penindasan terhadap kaum wanita. Dengan berhijab, wanita menuntut supaya mereka dinilai dan dilihat atas dasar keimanan dan kebijaksanaan serta budi pekerti dan bukan hanya bahan tontonan objek **** semata-mata.

Bagaimana pula sikap kita yang sedang membaca?

Tudung dan Syariat

Isu tudung tidak seharusnya menjadi polemik dalam masyarakat. Ia bukan soal etika berpakaian. Bagi Muslim, menutup aurat adalah perintah agama yang wajib dilaksanakan. Orang yang menggunakan ayat Allah dalam permulaan ayat 256 Surah Al Baqarah yang bermaksud “Tiada paksaan dalam agama…” sebagai sandaran tidak boleh menguatkuasakan perintah bertudung telah melakukan kebatilan dalam agama. Memang benar tiada paksaan dalam menganut agama Islam. Namun, setelah yakin Islam adalah ajaran hidup yang benar, semua umat Islam tidak terkecuali daripada menjalankan peritah Allah secara keseluruhannya sebagaimana firman Allah dalam surah yang sama pada ayat awal dari surah Al Baqarah ayat 208 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagi kamu"

Perihal kewajiban menutup aurat telah dijelaskan secara terperinci oleh Allah dalam surah An Nur ayat 31 bermaksud:

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka;

Golongan Islam Liberal menghujah bahawa kalimat khumur sebagai sekeping kain untuk menutup dada (maka cukup dengan memakai selendang di dada tanpa perlu menutup rambut) sedangkan tafsiran jumhur ulama adalah melabuhkan tudung yang sedia dipakai itu menutup rambut dan menutup belahan dada.

Cara Menutup Aurat – Panduan Syariat

Al Quran dan As Sunnah tidak memperincikan bentuk atau warna hijab atau tudung (sebahagian makna dari hijab), mahupun pakaian yang harus digunakan oleh wanita Muslim. namun, ulama memberikan garis panduan cara berpakaian mengikut landasan syariat. Antaranya ialah:

  1. Tiada bentuk atau fesyen tertentu bagi pakaian wanita Islam
  2. Pakaian mestilah menutup seluruh anggota aurat dengan sempurna
  3. Pakaian mestilah longgar dan tidak nipis supaya tidak menonjolkan susuk tubuh
  4. Tidak dengan tujuan untuk bermegah seperti memakai pakaian yang melampau mahalnya, fesyen dan warna yang ketara sehingga membezakannya dengan orang lain dan menarik perhatian
  5. Tidak terlampau zuhud dengan memakai pakaian yang terlalu lusuh sehingga menimbulkan ujub dalam diri
  6. Tidak menyerupai pakaian lelaki

Hijab – Satu Sistem Sosial yang Lengkap

Perintah untuk kita mengamalkan Islam secara keseluruhannya mempunyai makna yang mendalam sebab Islam merupakan satu cara hidup yang lengkap yang akan menjamin kesejahteraan hidup umat manusia sekiranya dilaksanakan dengan sempurna. Salah satu daripada peraturan hidup Islam adalah sistem hijab iaitu satu peraturan sosial yang mengatur kehidupan manusia terutamanya dalam hal-hal yang membabitkan perhubungan dan pergaulan antara lelaki dan wanita. Perintah ini tidak hanya untuk wanita, malah mesti dilaksanakan dan dipatuhi oleh kaun lelaki sebagaimana penegasan Allah dalam sebelumnya iaitu ayat 30 surah An Nur di mana arahan ini diperintahkan terlebih dahulu kepada kaum lelaki yang beriman.

"Katakanlah kepada lelaki beriman, agar mereka menjaga pandangannya dan memelihara kemaluannya…"

Panduan yang merangkumi perintah untuk lelaki dan wanita termasuklah:

  1. Menjaga dan menundukkan pandangan.
  2. Menjaga kemaluan.
  3. Memakai pakaian menutup aurat.

Sementara perkara berikut dikhususkan untuk wanita sahaja di atas hikmah tertentu:

  1. Melabuhkan tudung ke dada.
  2. Tidak mempamerkan perhiasan kecuali yang biasa nampak.
  3. Tidak menghentakkan kaki untuk menunjukkan perhiasan yang tersembunyi.
  4. Tidak bertabarruj atau bersolek termasuk memakai wangian di luar rumah.

Jelas di sini tiada diskriminasi jantina dalam Islam. Yang ada hanyalah peraturan tertentu sesuai dengan perbezaan kejadian lelaki dan wanita. dasar kesamarataan antara insan lelaki dan wanita dalam Islam termaktub jelas dalam Al Quran, antaranya dalam surah Al Hujurat ayat 13 yang bermaksud:

"Wahai Manusia! Sungguh Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa"

Sementara hakikat perbezaan kejadian dan tindakan lelaki dan wanita dinyatakan Allah di dalam Al Quran dalam surah Al Lail ayat 3 dan 4 yang bermaksud:

"Dan demi makhluk ciptaanNya lelaki dan perempuan. Sesungguhnya amal usaha kamu itu berbeza-beza"

Hijab dan Sains

Semenjak dahulu lagi hijab dikenakan dalam syariat Kristian dan lain-lain syariat. Namun walaupun penafian terhadap hijab ini amat hebat ia tetap menepati ciri fitrah manusia yang semulajadi membantu dalam gejala sosial, akhlak dan kesihatan.

Kesihatan? Ya, hijab punya nilai tambah dalam soal kesihatan badan. Ini dilaporkan dalam artikel The Science Behind The Veil di Islam di laman Online.net tulisan Karima Burns yang mengatakan:

Ujian menunjukkan 40-60 % daripada tahap kepanasan badan seseorang hilang melalui kepala jesteru menutupnya terutama di musim sejuk dapat mengawal suhu badan seseorang berbanding mereka yang lain. Menutup kepala juga bermanfaat bagi kesihatan dimusim panas. Pakar otak, V.G Rocine mengatakan fosforus otak akan mencair pada suhu 108° Fahrenheit. Keadaan ini boleh berlaku apabila seseorang terdedah kepada panas terik tanpa menutup kepala. Pencairan fosforus boleh menyebabkan fungsi otak menurun dan akan memberi beberapa kesan negatif kepada otak.

Artikel Highest Phosphorus Foods di Canadian Neuro-Optic Research Institute Online juga menyatakan bahawa :

Sekiranya suhu badan seseorang mencecah lebih daripada 105° Fahrenheit ia amat berbahaya kerana fosforus otak akan cair dan menjejaskan kesihatan otak. Jesteru kepala hendaklah ditutup dalam keadaan cuaca panas.

Ya melihatkan fesyen pada baju kini kebanyakannya ditambahkan sekali penutup kepala contohnya baju sejuk tebal yang berfungsi mengawal suhu badan dan mengelak kehilangan haba badan serta kelupasan kulit. Ini adalah sebenarnya melihatkan faktor cuaca. Namun Muslim bukan memakai sesuatu pakaian disebabkan faktor cuaca tetapi adalah perintah Allah yang menuntut Muslim itu menutup auratnya.

Penutup

Pemakaian tudung adalah suatu kewajiban syarak. Ia bukanlah isu pilihan peribadi dan mengenai hak asasi. Tanggapan bahawa adalah salah menghukum seseorang kerana ia tidak memakai tudung merupakan suatu tanggapan yang terpesong.

Tudung juga tidak boleh dianggap sebagai adat budaya orang Melayu sahaja dalam konteks Malaysia ini. Orang Melayu dulu, memakainya kerana agama Islam yang mereka anuti. Bagi umat Islam di Malaysia, pendidikan mengenai tudung, hakikat syaraknya dan cara pemakaiannya yang betul hendaklah diperbetul dan diperhebatkan. Ini adalah perlu sebab ramai antara kaum Muslimin dan Muslimat di Malaysia tidak difahamkan dengan jelas, samada oleh individu di sekelilingnya, masyarakat, keluarga mahupun pemerintah tentang kewajiban mengenakan tudung dan pakaian menutup aurat yang sah di sisi syarak. Dengan pemahaman ini, masyarakat akan lebih peka mengenai aturan syarak dalam penutupan aurat. Seterusnya, ini akan menimbulkan kepekaan yang amat tinggi dalam masyarakat, tegur-menegur atas kebaikan, khususnya dalam isu pemakaian tudung dan pakaian menutup aurat yang betul akan berleluasa dan rahmat Islam akan menyelubungi seluruh umat.

Di samping pendidikan dan teguran, hukuman takzir juga boleh dilaksanakan oelh negara Islam yang berdaulat kepada sesiapa yang tidak melaksanakan pemakaian tudung dan pakaian Islam yang sah di sisi syarak. Ini pernah dilakukan oleh Sultan Abdul Hamid II, Khalifah Uthmaniyyah Turki, dengan mengeluarkan pekeliling mendenda wanita yang tidak memakai tudung.

Akhirnya, perintah menutup aurat dan berhijab ini hanyalah sebahagian kecil daripada banyak sistem dan cara hidup Islam yang telah ditinggalkan dan diambil ringan. Sistem hijab mestilah dijalankan seiring dengan sistem kehidupan Islam yang lain merangkumi sistem pemerintahan, ekonomi, perundangan, penghukuman, pendidikan dan sosial. Dengan ini barulah kesejahteraan umat yang sebenarnya yang dijanjikan Islam dapat direalisasikan. Ini memerlukan kerjasama yang bersungguh-sungguh daripada semua pihak untuk melaksanakannya.

Sejarah pemakaian tudung kepala ini sebenarnya bermula berkurun lamanya sebelum kedatangan Islam. Sejarah Judeo-Kristian membuktikan pemakaian tudung kepala diamalkan oleh rahib wanita mereka. Dengan kedatangan Islam, wanita diperintahkan Allah untuk melabuhkan tudung kepala mereka menutupi belahan dada.

Menurut hadis yang diriwayatkan Bukhari, Aisyah r.a menceritakan kisah ketika Surah An Nur ayat 31 diturunkan di Madinah wanita mukmin Ansar dan Muhajirin terus melaksanakan perintah ini serta-merta tanpa banyak soal dengan mencari apa sahaja kain di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah perintahkan. Petanda keimanan mereka terserlah dengan sikap Sami’na Wa’ato’na (Kami mendengar dan kami taat) terhadap apa jua perintah dan ketetapan Allah tanpa perlu melihat rasional dan hikmah yang terselindung di sebalik perintah tersebut.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

Dikuasakan oleh Blogger.

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.