ELEMENT-ELEMENT LAIN DI DALAM PILIHAN RAYA
PASUKAN PENGUAT KUASA KEMPEN PILIHAN RAYA (PP-KPR)
Bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar, SPR mempunyai kuasa di bawah seksyen 3(d) Akta Pilihan Raya 1958 dan seksyen 27A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk melantik Pegawai Penguat Kuasa dan membentuk satu atau lebih Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya di setiap bahagian pilihan raya Parlimen.
Keanggotaan pasukan ini adalah terdiri daripada:-
- Pegawai Penguat Kuasa yang dilantik di bawah seksyen 3(d) Akta Pilihan Raya 1958
- Seorang pegawai polis yang berpangkat tidak rendah dari inspektor.
- Seorang wakil pihak berkuasa tempatan.
- Seorang wakil parti politik/calon.
Fungsi-Fungsinya ialah:-
- Mengawasi dan memantau semua aktiviti calon
- Menurunkan semua bahan kempen yang bercanggah dengan undang-undang Pilihan Raya
- Menghentikan ucapan dan syarahan yang melanggar undang-undang pilihan raya.
- Mengawal dan menyelaras aktiviti berkempen
BARONG SPR
Undang-undang yang ada sekarang melarang calon daripada mendirikan sebarang barong atau pondok panas di dalam kawasan calon itu bertanding. Namun demikian calon-calon dibenarkan untuk mengadakan pejabat parti untuk urusanya di luar kawasan 50 meter dari pusat mengundi. Bagi memastikan kelancaran pengundian, SPR akan mengadakan Barong SPR di pusat-pusat mengundi. Tujuaan barong ini diadakan adalah untuk membantu pemilih menyemak nama mereka berada di dalam daftar pemilih dan penentuan pusat dan tempat mengundi mereka supaya pengundian dapat berjalan dengan lancar dan teratur.
PERBELANJAAN PILIHAN RAYA
Calon-calon dibenarkan membelanjakan untuk urusan pilihan raya mereka berdasarkan jumlah berikut :-
- Parlimen : Tidak lebih daripada RM200,000.00
- Dewan Undangan Negeri : Tidak lebih daripada RM100,000.00
Calon-calon dikehendaki mengemukakan penyata perbelanjaan kepada SPR dalam tempoh 31 hari dari tarikh keputusan pilihan raya di wartakan. Calon-calon dan ejen pilihan raya yang gagal berbuat demikian menyebabkan mereka tidak layak untuk bertanding bagi tempoh lima tahun akan datang.
JENIS-JENIS PENGUNDIAN
Terdapat tiga jenis pengundian di Malaysia:-
- Pengundian biasa melibatkan pemilih-pemilih biasa yang akan mengundi pada hari yang ditetapkan sebagai hari mengundi.
- Pengundian awal bagi anggota tentera dan pasangan serta anggota Polis dan pasangan Pasukan Gerakan Am (PGA), dan
- Pengundian pos melibatkan pengundi tidak hadir yang terdiri daripada angkatan tentera dan pasangannya, anggota Polis serta pasangan PGA yang terpaksa menjalankan tugas operasi pada hari mengundi, pelajar di luar negara dan pasangannya serta kakitangan awam yang berkhidmat di luar negara dan pasangannya.
Pengundi-pengundi lain yang dibenarkan mengundi secara pos ialah:
- Petugas Pilihan Raya
- Ahli Panel, Pegawai dan kakitangan SPR
- Mana-mana kategori yang ditetapkan oleh SPR layak untuk mengundi secara pos melalui pewartaan
Pengundian Awal akan diadakan lebih awal iaitu kira-kira 2-3 hari sebelum tarikh pengundian biasa. Kertas-kertas undi yang telah ditanda akan disimpan dengan selamat dan akan dibuka untuk pengiraan pada jam 5.00 petang pada hari pengundian sebenar.
Pengundian pos ini akan diadakan lebih awal iaitu sebaik sahaja kertas undi di cetak dan mereka perlu mengemukakan kertas undi tersebut yang telah ditanda ke Pejabat Pegawai Pengurus selewat-selewatnya pada jam 5.00 petang pada hari mengundi.
ALASAN-ALASAN UNTUK PETISYEN PILIHAN RAYA
Keputusan pilihan raya hanya boleh di cabar di mahkamah pilihan raya melalui petisyen pilihan raya. Ianya hendaklah di kemukakan dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan pilihan raya di wartakan. Sesuatu petisyen pilihan raya hanya boleh dibuat atas alasan-alasan berikut:-
- Sogokan, peras ugut atau sebarang salah laku yang boleh menjejaskan pilihan raya
- Ketidakpatuhan peruntukan undang-undang dan peraturan pilihan raya
- Perbuatan rasuah atau perbuatan menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh calon-calon atau ejen-ejennya.
- Calon atau ejennya didapati tidak layak untuk menyertai pilihan raya.