Rakyat semakin jelas konsep Negara Berkebajikan

at Khamis, 11 April 2013 [ 12:29 PG ]

Abdul Hadi AwangHadi Awang menyampaikan hujah pada program Bicara Minda dan Sesi Berdialog. - Foto Sinar Harian

SHAH ALAM - Konsep Negara Berkebajikan yang dibawa Pas diterangkan dengan terperinci dan jelas oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam program Bicara Minda dan Sesi Dialog anjuran Sinar Harian semalam. 
Bicara Minda kali ini mengupas tajuk Negara Berkebajikan : Persepsi dan Realiti.
Bekas pelakon yang juga ahli Pas, Bob Lokman berkata, setelah menghadiri program ini kefahaman beliau tentang Negara Berkebajikan yang dibawa oleh Pas lebih mendalam. 
"Berkebajikan itu meliputi keseluruhan aspek kehidupan manusia, ada undang-undang dan ada prosesnya.
"Hari ini saya lihat Tuan Guru Haji Hadi membuat penjelasan yang jujur dan ikhlas, orang melihat dari segi aspek kepentingan politik, tentang kalah menang sebuah parti politik, tanpa menilai akan kebajikan dan kebenarannya," katanya.
Mengulas pandangan Hadi berhubung manifesto, Bob optimis Pakatan Rakyat akan memastikan manifesto atau janji yang dikemukakan kepada rakyat akan ditunaikan.
"Tuan Guru cakap sangat jelas, dari dulu pun saya faham mengenai perkara ini, bila kita tulis manifesto maknanya benda ini akan dibuat," ujarnya.
Konsep Negara Berkebajikan merangkumi tujuh ciri utama.
Antaranya ialah pembangunan bagi manfaat dan kebajikan rakyat awam, kerajaan adalah "guardian" atau penjaga (ibu bapa) kepada rakyat, penekanan kepada kecemerlangan moral dan nilai keinsanan.
Selain itu, kesaksamaan asas di kalangan semua rakyat dipastikan, kecemerlangan individu digalakkan, kebajikan rakyat adalah tanggungjawab negara dan rakyat sejahtera negara makmur.
Menurut ketua eksekutif sebuah syarikat swasta, Mazli Zakuan Mohd Noor, beliau yakin dengan konsep Negara Berkebajikan yang dibawa oleh Pas.
"Berdasarkan konsep Negara Berkebajikan yang ditawarkan oleh Pas, saya rasa ianya satu pendekatan yang cemerlang, ianya jelas dan mudah untuk diterima oleh masyarakat awam," katanya.
"Ia memberi satu anjakan paradigma baru kepada masyarakat, jelas dan mudah difahami," tambahnya lagi. 
Ahmad Al-Mesiyry Abdullah, seorang mahasiswa pula berkata, konsep Negara Berkebajikan yang dibawa Pas merupakan satu konsep yang holistik.
"Konsep Negara Berkebajikan Pas ini merujuk kepada keseluruhan aspek-aspek kehidupan, ianya meliputi hal ehwal pendidikan, ekonomi, masyarakat dan lain-lain lagi," katanya.
Kenyataan ini turut disokong oleh peserta program, Amsor Tuah, yang merasakan konsep Negara Berkebajikan ini sangat praktikal.
"Saya sangat bersetuju dengan konsep ini, mudah-mudahan ianya dapat dilaksanakan seandainya Pakatan Rakyat (PR) memerintah Putrajaya nanti," ujarnya.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

Dikuasakan oleh Blogger.

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.