Mekanisme ampuh bendung seks bebas

at Ahad, 17 Februari 2013 [ 11:35 PTG ]

pix_topright
RAMAI menganggap isu seks sesuatu yang remeh-temeh dan memualkan serta tidak sesuai dimasukkan dalam silibus sistem pendidikan formal.
Sering dilemparkan dengan paradigma lama, pendidikan yang asalnya bertujuan mahu menyelamatkan maruah remaja tidak habis dipersoalkan matlamatnya.
Mereka berpendapat, bantuan itu ibarat 'bersetuju' atau mahu menggalakkan perlakuan luar norma masyarakat dilakukan remaja berkenaan.
Yang menghairankan, pihak itu hanya pandai mengkritik, tapi enggan turun padang menghulurkan bantuan sedangkan ke­adaan gejala sosial seks bebas di kalangan remaja kian meruncing.
Akibatnya, pihak yang disasarkan bantuan semakin jauh terjebak dan seolah-olah hilang punca bantuan.
Siapakah harus dipersalahkan dan apakah usaha boleh diambil bagi membantu mereka daripada terus hanyut dan teraba-raba mencari bantuan.
Pensyarah kanan, Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Faizah Abd Ghani berkata, masyarakat seharusnya peka dan menangani isu seks bebas di kalangan remaja secara bersama, bukannya hanya mengkritik.
Beliau berkata, jika dulu isu ini terpencil, kini ia bersifat global hingga 'memaksa' semua pihak bersatu menanganinya.
"Isu ini tidak boleh dipandang ringan, tetapi kebanyakan daripada kita menganggap ia tanggung jawab satu pihak saja.
"Persoalannya, seks bebas semakin membarah dan meruncing dalam kehidupan remaja, usah lagi lepas tangan.
"Daripada kita sibuk menyalahkan orang lain, lebih baik kita duduk semeja dan membincang tindakan yang boleh diambil untuk membendung gejala itu," katanya.
Atas dasar kepekaan dan ingin tahun, Dr Faizah mengambil inisiatif menjalankan kajian mengenai seks bebas di kalangan remaja dengan mengambil pelajar berusia 14 hingga 16 tahun sebagai subjek fokus.
Kajian dua tahun bermula 2011 itu menemu bual lebih 1,000 remaja dan hasilnya mendapati kekurangan perhatian keluarga, didikan agama selain nafsu tidak mahu kalah dengan kelebihan orang lain menjadi punca isu itu.
"Ramai menganggap mereka terjebak kerana mahu berseronok atau terpengaruh dengan desakan jiwa muda. Tapi hakikatnya itu hanyalah sampingan kerana ada lagi faktor lebih besar.
"Kekurangan kasih sayang keluarga menyebabkan mereka kecundang ditambah dengan jiwa yang kosong sehingga hanyut dengan tarikan nafsu.
"Tidak hairanlah, sistem pendidikan seks kurang berjaya kerana gagal mendapat sokongan keluarga bagi memulihkan mereka yang terjebak dari segi emosi," katanya.
Emosi itu, katanya tidak boleh pulih sekelip mata dan memerlukan bimbingan luar termasuk rakan, guru, sekolah dan masyarakat.
"Masalahnya, mereka yang diharap mampu menghulurkan bantuan juga seperti teraba-raba untuk membantu kerana kurangnya pengetahuan atau cara mengendalikannya.
"Salah pendekatan, mereka yang terjebak juga semakin jauh dan menyukarkan usaha menghulurkan bantuan," katanya.
Katanya, pendidikan seks bukan saja untuk menyalurkan maklumat, malah mencari solusi bagaimana mekanisme sedia ada yang dibangunkan daripada kajian mampu membantu mereka yang terbabit dengan perlakuan itu," katanya.
Beliau mengakui, pendidikan seks di sekolah atau rumah tidak akan memberi sebarang kesan jika menggunakan pendekatan yang salah.
Menurutnya, dari segi teori pendidikan dan kaunseling, remaja adalah mereka yang bersifat ingin tahu, berani mencuba dan kurang memikirkan akibat daripada tindakan itu.
"Sebab itu, kita sering mendengar rungutan betapa sukarnya mendidik remaja hari ini kerana mereka semakin bijak.
"Malah, reaksi mereka terhadap sesetengah subjek juga tidak penuh keterujaan sebagaimana belajar pendidikan seks. Dengan kata lain, mereka ingin benar untuk mengetahuinya.
"Tapi, disebabkan sikap malu atau tiada mekanisme sesuai, ibu bapa di rumah atau guru di sekolah seolah-olah menepis keinginan mereka itu hingga akhirnya memperoleh maklumat salah," katanya.
Kajiannya mendapati, ada kalanya maklumat diperoleh tidak tepat kerana bersumberkan Internet, blog, kawan-kawan atau bahan bacaan salah.
"Manakala maklumat tepat jarang diperoleh dari mereka yang lebih berpengetahuan kerana dikekang beberapa faktor lapuk seperti malu.
"Ini menjadikan statistik seks bebas di kalangan golongan terbabit sentiasa meningkat," katanya.
Beliau turut menyangkal faktor pendidikan formal yang diterima masih kurang menyeluruh.
"Metodologi pendidikan tidak pernah membezakan sama ada formal atau tidak kerana lebih penting sejauh mana pendidikan diterima itu mampu dimanfaatkan dalam kehidupan," katanya.
Bagi membantu menangani isu remaja yang terbabit dengan aktiviti penyimpangan seksual itu, beliau memperkenalkan Model Sayangku.
Model ini menyerapkan konsep dan elemen kasih sayang pelajar untuk menyayangi Allah, rasul, diri sendiri dan masyarakat bagi mewujudkan jati diri serta kendiri.
"Model ini sesuai digunakan dalam pendidikan, pencegahan dan rawatan.
"Ia bukan hanya menekan unsur kerohanian, malah transformasi personaliti," katanya.
Tindakan atau perlakuan spontan remaja, akuinya juga adalah reaksi terhadap kemahuan gaya 'bercinta' yang sering dimomokkan kepada mereka.
"Gaya bercinta ini boleh diklasifikasikan mengikut gender. Ada gaya romantis, persahabatan, logikal, pengorbanan kepunyaan dan permainan.
"Namun, remaja perempuan lebih mudah terjerumus biarpun jumlah itu tidak jauh dari lelaki.
"Yang perlu ditekankan ialah, sesiapa saja boleh terjebak dalam seks bebas dengan tumpuan terbesar harus diberikan kepada remaja kerana mereka boleh dikategorikan sebagai golongan naif," katanya.
Beliau menggesa semua pihak membuka mata mencari mekanisme ampuh bagi membendung gejala ini.
"Buatlah berapa banyak kajian atau tunggulah beratus tahun lagi, isu ini tidak akan selesai andai kata semua pihak masih menyalahkan antara satu sama lain.
"Seks juga satu konsep pendidikan, tapi bezanya didikan itu adalah sebagai mekanisme kelangsungan hidup," katanya.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

Dikuasakan oleh Blogger.

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.