Toleransi asas tamadun Islam

at Khamis, 28 Februari 2013 [ 5:48 PTG ]

Rasulullah hormati penganut agama lain
Firman Allah SWT: “Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” (Surah Al-Haj, ayat 40)
Islam adalah agama perdamaian dan agama toleransi. Ia bukan kata-kata kosong tetapi sesuatu yang dijelaskan Allah SWT dalam banyak tempat dalam al-Quran dan dibuktikan secara praktikal oleh Rasulullah SAW melalui sejarah kehidupan dan perjuangan Baginda.
Firman Allah: “Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepada-Nyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (Surah al-Ankabut, ayat 46)
Antara perkara awal yang dilakukan Rasulullah SAW bila tiba di Madinah ialah mengadakan perjanjian dengan orang Yahudi. Inti pati perjanjian itu ialah negara Islam Madinah perlu menghormati kepercayaan dan agama mereka, mempertahankan mereka daripada segala bentuk ancaman dan menjadikan mereka sebahagian masyarakat Madinah yang akan mempertahankan setiap inci buminya.
Rasulullah SAW sendiri mempunyai jiran-jiran dalam kalangan ahli kitab yang dilayan begitu baik oleh Baginda. Perkara biasa dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika itu ialah memberikan mereka hadiah dan begitu juga sebaliknya, mereka memberikan Nabi hadiah. Pernah satu ketika rombongan Nasrani Habsyah bertandang ke Madinah, Rasulullah SAW menempatkan mereka di masjid. Secara peribadi, Rasulullah SAW melayan mereka dan mengungkapkan kata-kata penuh makna, “Mereka pernah memuliakan sahabat-sahabat kita dan aku suka diriku sendiri memuliakan mereka.”
Sebenarnya perbezaan agama tidak menghalang kita untuk berbuat baik, berkasih sayang dan bertoleransi dalam perkara diizinkan oleh syariat.
Firman Allah: “Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka) dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang yang diberikan Kitab dulu daripada kamu.” (Surah al-Maidah, ayat 5)
Satu peristiwa yang lebih menakjubkan mengenai toleransi ini ialah kedatangan rombongan daripada Nasrani Najran yang disambut oleh Rasulullah SAW. Sekali lagi Rasulullah menempatkan tetamu berlainan akidah ini di Masjid Nabawi dan membenarkan mereka sembahyang berdasarkan kepercayaan mereka di satu sudut, manakala Rasulullah dan sahabat bersolat jemaah di satu sudut lain dalam satu masjid. Selepas itu Rasulullah berbincang, berdialog serta berdebat bersama mereka dengan penuh beradab dan berakhlak. Sebenarnya apa yang dilakukan Rasulullah SAW ini tidak lain tidak bukan hanyalah sebagai kepatuhan kepada saranan Allah SWT.
Firman Allah: “Dan janganlah kamu berbahas dengan Ahli Kitab melainkan dengan cara yang lebih baik, kecuali orang yang berlaku zalim di antara mereka dan katakanlah (kepada mereka): Kami beriman kepada (al-Quran) yang diturunkan kepada kami dan kepada (Taurat dan Injil) yang diturunkan kepada kamu dan Tuhan kami, juga Tuhan kamu, adalah Satu dan kepada-Nyalah, kami patuh dengan berserah diri.” (Surah al-Ankabut, ayat 46)
Bukankah penghinaan, ugutan dan menimbulkan bibit-bibit kebencian kepada penganut agama lain adalah sesuatu yang dicela oleh al-Quran dan pada masa sama menimbulkan permusuhan serta kebencian yang pasti tidak akan menguntungkan sesiapa.
Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.” (Surah al-A’nam, ayat 108)
Di atas asas toleransi inilah sebenarnya tamadun umat Islam berkembang. Orang bukan Islam buat kali pertama dalam sejarah hidup mereka melihat bagaimana Islam membina tamadun tanpa prejudis kepada orang lain bahkan pada masa sama memberi ruang cukup luas kepada bukan Islam untuk sama-sama menyumbang kepada pembinaan kemajuan dan ketamadunan dunia. Begitulah toleransi yang dituntut tanpa kompromi berkaitan akidah dan kepercayaan kita. Setiap Muslim wajib beriman kepada rasul di samping keimanan kita yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah SAW. Inilah umat Islam yang sebenarnya yang memiliki jiwa yang besar.
Firman Allah SWT: “Katakanlah (hai orang Mukmin): Kami beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yakub dan anak cucunya, dan apa yang diberikan kepada Musa dan Isa serta apa yang diberikan kepada nabi-nabi daripada Tuhannya. Kami tidak membeda-bedakan seorang pun di antara mereka dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 136)
Jelas sekali Islam tidak membenarkan kita bertindak zalim kepada penganut agama lain melalui tindakan kekerasan atau melahirkannya dalam bentuk provokasi sama ada tulisan atau ucapan. Islam mewajibkan kepada pemerintah menjaga tempat ibadah mereka daripada dicerobohi.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

Dikuasakan oleh Blogger.

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.