Syarat menjadi Menteri menurut Islam

at Ahad, 17 Februari 2013 [ 6:52 PTG ]

Kedudukan menteri atau pengurus yang mentadbir urusan negara adalah merupakan suatu kedudukan yang amat penting bagi memastikan keamanan dan kebajikan rakyat terpelihara dan keadilan dapat terlaksana. Al-Quran ada memuatkan sedikit kisah dan syarat dalam menjadi seseorang Menteri di dalam Kisah Lagenda berkenaan Nabi Allah Yusof as.
Firman Allah SWT : "Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman." (Yusof : 111)
Menteri atau di dalam bahasa Arab disebut sebagai "وزير " bermaksud penasihat atau pembantu kepada raja atau pemerintah yang tertinggi. Kedudukan menteri ialah sebagai pentadbir dan pelaksana segala arahan raja dan menjadi pengurus negara dalam mentadbir sumber dan menjalankan urusan-urusan pemerintahan bagi pihak raja atau sultan yang memerintah.
Seorang raja biasanya mempunyai menteri yang ramai bagi membantunya menjalankan tanggungjawab memerintah dan mentadbir rakyat jelata serta menangani sebarang urusan dan keperluan mereka. Pada hari ini, kedudukan menteri ditentukan oleh pilihanraya dan undian daripada rakyat yang memilih orang-orang tertentu yang dianggap sesuai sebagai wakil mereka untuk memerintah dan menjalankan amanah mentadbir negara.
Al-Quran telah menyebutkan tentang syarat-syarat menjadi menteri seperti berikut :
Syarat yang pertama

1. Bebas dari tuduhan dan tohmahan buruk
Nabi Allah Yusof As, menolak untuk keluar dari penjara dan bertemu dengan Sang Raja walaupun setelah berhasil menolong pemerintah tersebut menafsirkan mimpinya selagi fitnah ke atas diri beliau belum dibersihkan.
Ini dimuatkan dalam firman Allah SWT : "Raja berkata: "Bawalah dia kepadaku." Maka tatkala utusan itu datang kepada Yusuf, berkatalah Yusuf: "Kembalilah kepada tuanmu dan tanyakanlah kepadanya bagaimana halnya wanita-wanita yang telah melukai tangannya. Sesungguhnya Tuhanku, Maha Mengetahui tipu daya mereka." (Yusof : 50)
Nabi Allah Yusof as. meminta supaya dirinya dibicarakan secara adil dan dibersihkan dari tuduhan negatif serta tohmahan berkaitan skandal wanita yang dikaitkan dengan diri beliau. Setelah pengakuan dari wanita-wanita yang mengaku terlibat dalam skandal memburukkan peribadi beliau telah berjaya diperolehi barulah Nabi Yusof meminta kepada raja supaya melantik dirinya menjadi Menteri.

2. Mendapat sokongan dan kepercayaan dari orang ramai atau pihak yang memerintah
Seorang yang menjadi menteri tidak boleh mengharapkan kepada kebolehan dirinya semata-mata ini kerana pentadbiran Negara dan mengurus urusan rakyat memerlukan kerjasama daripada semua pihak dan pelbagai lapisan masyarakat.
Kerjasama dan sokongan hanya dapat diperolehi jika kita diberikan kepercayaan oleh orang ramai atau disokong oleh pihak yang memerintah seperti raja atau sultan yang berkuasa di dalam Negara. Hal itu barulah dapat memberikan seseorang menteri itu kuasa dan kekuatan yang diperlukan untuk menjalankan urusan pentadbirannya.
Firman Allah SWT : "Dan raja berkata: "Bawalah Yusuf kepadaku, agar aku memilih dia sebagai orang yang rapat kepadaku." Maka tatkala raja telah bercakap-cakap dengan dia, dia berkata: "Sesungguhnya kamu (mulai) hari ini menjadi seorang yang berkedudukan tinggi lagi dipercayai pada sisi kami." (Yusof : 54)
Nabi Allah Yusof as hanya meminta jawatan sebagai menteri dan pembesar negara apabila beliau sudah mendapat kepercayaan dan sokongan daripada raja yang memerintah. Ini disebabkan pada zaman tersebut sokongan rakyat tidak memainkan peranan penting kerana kekuasaan negara pada ketika itu terletak kepada raja. Berbeza dengan keadaan hari ini apabila kita berada di dalam masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi maka sokongan dan kepercayaan daripada rakyat adalah amat penting untuk diperolehi sebelum seseorang itu boleh atau layak diangkat sebagai menteri.
Bagaimana seseorang menteri itu boleh melaksanakan fungsinya dengan baik apabila rakyat dan orang ramai masih mempersoalkan keadaan dirinya, sifat amanahnya dan apabila cerita-cerita skandal dan berita tentang rasuah serta penyelewengannya tersiar diseluruh negara ? Maka oleh yang demikian setiap Menteri itu sebelum dilantik ke dalam majlis jemaah menteri adalah perlu bagi pihak pemerintah untuk mendapatkan restu atau sokongan rakyat dalam calon-calon menteri yang dicadangkan oleh parti yang menang dalam pilihanraya.
Hal ini sekurang-kurangnya dapat membantu menyatu-padukan masyarakat dan setiap orang redha dan dapat memberikan kepercayaan kepada pemimpin dan menteri yang telah dilantik.
3. Memiliki sifat Amanah dan berpengetahuan luas dalam bidang yang berkenaan
Ini berdasarkan firman Allah SWT yang seterusnya di dalam surah Yusof yang menyebut : "Berkata Yusuf: "Jadikanlah aku penjaga bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan." (Yusof : 55)
Hendaklah seseorang calon menteri itu memiliki sifat amanah dan pandai menjaga sumber negara yang akan dipertanggungjawabkan kepadanya di dalam jawatan sebagai menteri. Tugas utama seorang menteri itu ialah menguruskan sumber negara bagi mencapai objektif dan tujuan-tujuan yang dikehendaki oleh pihak pemerintah atau bagi memenuhi kebajikan rakyat. Maka hendaklah seseorang calon menteri itu dibuktikan memiliki sifat amanah dan kemampuan untuk menjaga sumber negara atau negeri dengan baik dan tidak menyalah-gunakannya atau melakukan pembaziran atau kemudharatan kepada rakyat.
Selain daripada itu syarat berpengetahuan juga adalah penting dan mustahak dimiliki bagi memastikan tiada kesilapan atau kesalahan fatal yang akan dilakukan dari sebab kejahilan atau kebodohan seseorang menteri itu di dalam melaksanakan kewajipannya. Sekiranya seseorang itu dilantik menjadi menteri kewangan atau mahu menawarkan diri menjadi salah seorang menteri dalam kerajaan maka beliau hendaklah sekurang-kurangnya menguasai pengetahuan asas dan selok belok penting di dalam bidang yang akan ditadbir olehnya. Adalah tidak patut seorang ahli politik yang tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan mendalam di dalam sesuatu bidang tertentu dilantik sebagai menteri yang menguruskan hal ehwal bidang tersebut.
Daripada Abu Hurairah ra yang berkata bahawa telah bersabda rasulullah salallahualaihiwassalam :
إذا ضيعت الأمانة فانتظر الساعة. قال: كيف إضاعتها يا رسول الله؟ قال: إذا أسند الأمر إلى غير أهله فانتظر الساعة
Maksudnya : "Apabila manusia telah mengabaikan amanah maka nantikanlah saat kehancuran." Maka orang pun bertanya : Bagaimana amanah itu diabaikan ya rasulullah ? Baginda bersabda : " Apabila diserahkan urusan (tanggungjawab) kepada bukan ahlinya maka nantikanlah saat kehancuran." (Hadis riwayat Bukhari no. 59)
Di negara kita ini, pemilihan menteri adalah berdasarkan kepada pilihanraya yang mana calon parti yang memenangi majoriti (mudah atau mutlak) akan dilantik oleh Perdana Menteri untuk memegang jawatan sebagai menteri dan perdana menteri itu sendiri adalah pemimpin tertinggi dari kalangan parti yang memenangi pilihanraya. Persoalan di sini; Adakah calon yang bakal anda pilih dalam pilihanraya umum ke-13 (PRU13) menepati ciri-ciri yang digariskan dalam Al-Quran (kitab suci islam). Sekiranya calon-calon yang anda pilih (undi) itu tidak menepati ciri-ciri yang digariskan dalam Al-Quran, maka anda adalah dipertanggungjawab sebagai mana pemimpin yang anda pilih…

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

Dikuasakan oleh Blogger.

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.