21 syarikat terbaik untuk mula kerjaya
Majalah terkemuka Asia iktiraf prestasi pengurusan firma terpilih
Sebanyak 21 syarikat tempatan termasuk tiga bank dinobatkan sebagai antara pemenang Anugerah Syarikat Terbaik Untuk Bekerja di Asia 2013. Bank terbabit ialah CIMB Group Bhd, RHB Banking Group dan Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank).
Mereka percaya sumbangan mereka akan membawa nilai tambahan kepada syarikat dan dihargai atas kerja keras mereka” Caroline Ang, Pengurus Besar Business Media International
Penganugerahan itu adalah hasil kajian satu majalah terbitan Business Media International, HR Asia bertujuan mengenalpasti syarikat terbaik Asia dari aspek kepemimpinan, selain mengkaji maklum balas dari pekerja syarikat dan pakar bidang sumber manusia.
Sebanyak 145 syarikat terbabit dalam kajian itu yang meliputi 12 negara di Asia.
Pengurus Besar Business Media International, Caroline Ang, berkata, semua syarikat yang terbabit dalam kajian itu dinilai bersandarkan kriteria kualitatif dan kuantitatif, dengan keputusan kaji selidik diperoleh dari kedua-dua pekerja dan majikan.
“Justeru, syarikat yang dipilih tidak hanya pada profil mereka atau dasar sumber manusia, tetapi yang lebih penting adalah strategi modal insan bakat yang ada pada mereka,” katanya pada majlis anugerah itu di Kuala Lumpur semalam.
Sejumlah 4,000 pekerja di Malaysia terbabit dalam kajian yang membabitkan pandangan mereka mengenai motivasi, hubungan emosi di tempat kerja, dan hubungan dengan majikan.
Kecemerlangan kerja
CIMB Group diiktiraf oleh pekerjanya berikutan komitmen perniagaan yang kukuh selain memberi ganjaran serta faedah kepada kakitangannya berdasarkan kepada kecemerlangan prestasi kerja.
RHB Banking Group pula dipilih susulan amalan konsep nilai PRIDE, iaitu profesionalisme, hormat, integriti, dinamik dan kecemerlangan, manakala EXIM Bank berdasarkan inisiatif berterusannya dalam mewujudkan semangat setia kawan di kalangan pekerja.
Selain tiga bank tempatan itu, pengendali penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd; Telekom Malaysia Bhd; Malakoff Corporation Bhd; Mah Sing Group Bhd; dan MKH Bhd turut memenangi anugerah itu.
Kepuasan bekerja
AirAsia diiktiraf hasil amalan persekitaran kerjanya yang berorientasikan keluarga, kebersamaan, program latihan modal insan selain memupuk ‘sikap jaguh’ dalam kalangan kakitangannya. Telekom Malaysia pula dinobatkan sebagai tempat kerja yang memberi inspirasi menarik dan memiliki barisan individu yang mahir.
Ang berkata, kaji selidik yang dilaksanakan HR Asia itu adalah yang paling mendalam dan saintifik mengenai perhubungan pekerja dengan majikan dan amalan di tempat kerja di rantau ini.
“Kebanyakan kakitangan syarikat yang memenangi anugerah ini mendapat kepuasan bekerja. Mereka percaya sumbangan mereka akan membawa nilai tambahan kepada syarikat dan dihargai atas kerja keras mereka. Satu faktor yang penting ialah pekerja merasakan mereka mempunyai perasaan hak milik dalam syarikat. Mereka akan mendapat suntikan motivasi untuk memberi yang terbaik untuk syarikat kerana mereka percaya usaha keras mereka akan mendapat pengiktirafan dan ganjarannya,” katanya.